Bercakap tentang ketokohan dan sumbangan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang.
Bercakap tentang tribulasi dan sirah perjuangan yang dilalui.
Izinkan aku susuli bercakap tentang amal dan pahala.
Kerana inilah akhirnya menjadi tiket ke syurga.
Ketika tiada lagi emas dan perak.
Pahalalah yang menentu kelayakan ke syurga.
Sumbangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi terhadap Islam dan umatnya amat besar.
Keterlibatan beliau di tanah air dan arena antarabangsa tidak dapat dipertikaikan lagi.
Perjuangannya dari usia muda ketika belajar di Mesir hinggalah berulang ke IJN kini, memahatkan sejarah panjang yang gemilang seorang ulama besar bergelar murabbi.
Beliau adalah legasi roh Islam Kampung Rusila.

Ribuan masyarakat dari jauh dan dekat berhimpun mendengar kuliah tafsirnya.
Sejak 1980an hingga sebelum PKP pertama 2020, beliau tekun mendidik muridnya untuk memahami kandungan isi Kalamullah.
Sudah berjuta muridnya dari seorang profesional hinggalah ke pelajar sekolah.
Dari seorang Imam dan pemimpin hinggalah si jahil yang mencari jalan kembali ke petunjuk Allah.
Sudah dua kali Tok Guru mengkhatamkan kuliah tafsirnya.
Banyaknya pahalamu, Tuan Guru.
Namun musuh seagama dan sebangsa terus mencacimu.
Buku dan kitab yang dikarang sudah beratus-ratus jumlahnya.
Segala cabang ilmu Islam digarap.
Mencakupi pelbagai aspek Fekah, Tafsir, Politik, Aqidah dan Iman.
Inilah jalan-jalan kemuliaan yang dirintis oleh para ulama silam.
Mereka tidak meninggalkan harta dan permata.
Yang diwariskan untuk ummah dan bangsanya ialah ilmu yang bermanfaat, penyuluh dunia, barzakh hingga akhirat.
Banyaknya pahalamu, Tuan Guru.
Namun musuh seagama dan sebangsa terus mencercamu.
Beliau adalah wakil pendamai antarabangsa.
Di mana Islam bertelingkah, beliau akan sampai untuk menyatukannya.
Aceh, Mindanao, Palestin dan Iraq, murabbi ummah ini membawa kata-katanya di dalam kitab ke lapangan hakikat.

Ilmu, akhlak dan keterampilannya diyakini dan dihormati.
Di majlis-majlis besar antarabangsa, beliau adalah panel, beliau adalah jurubicara.
Banyaknya pahalamu Tuan Guruku.
Namun musuh sebangsa dan seagama tetap rakus persenda.
Dalam banyak-banyak jasa TGHH, ada suatu jasa yang tak ternilai harganya.
Jasa paling tinggi dan paling mulia.
Jasa menyelamatkan insan daripada bakaran api neraka.
Jasa akidah yang tiada taranya.
Dengan jasa ini, beliau difitnah dan dibenci.
Berpuluh-puluh tahun jasanya diputar dan dimanipulasi.
Dijadikan isu setiap kali hendak mengundi.
Beliau tidak pernah menamakannya sebagai AMANAT.
Tapi mereka mencatatnya kerana kata-katanya sungguh keramat.
Pesan beliau dengan harapan aqidah ummah selamat.
Antara batas iman dan kufur, ummah diajar agar aqidah tak gugur.
Kalau solat dan puasa ada sah batalnya.
Solat batal, rosak solat buat semula.
Puasa batal, rosak puasa ganti semula.
Aqidah batal, rosak aqidah, mengucap semula.
Tapi apa yang diputarkan, kononnya Tuan Guru mengkafirkan orang yang berseteru dengannya.
Pesan aqidahnya berbunyi, “kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.
Inilah difitnahkan sebagai mengkafirkan orang.
Sedangkan isu aqidah inilah juga yang diangkat dalam buku Mustika Hadis terbitan Jabatan Perdana Menteri dan diberi kata pengantar oleh Almarhum Tun Abdul Razak.
Orang tak marah Jabatan Perdana Menteri tetapi orang marah dan benci tok guru.
Adakah kerana JPM itu di bawah kerajaan UMNO ketika itu manakala TGHH adalah tokoh PAS yang sedang naik menjadi teraju?
Kenapa dikatakan inilah jasa terbesar TGHH?
Hari ini hampir tidak kedengaran lagi orang berkata politik suku, agama suku.
Orang tidak lagi beraqidah bahawa soal politik tiada kaitan dengan Islam.
Ini bermakna umat Islam di negara kita telah terselamat aqidah mereka.
Terpulang kepada musuh sama ada mahu terima hakikat ini atau tidak.
Tok Guru bukan berjuang untuk cari redha manusia.
Hampir 40 tahun Tok Guru difitnah, dicacimaki dan dibenci hanya kerana amanat yang dimanipulasi.
Banyaknya pahalamu Tuan Guruku.
Kerana serangkap AMANAT kau dibelasah hingga ke hari ini.
Di era media sosial ini, makin banyak pahala percuma.
Pahala sabar difitnah dan dicaruti.
Berbariskah para pemfitnah yang muflis di akhirat nanti?
Tok Guru juga akan dapat pahala kerana memaafkan orang.
Banyak mana orang berdosa dengan Tok Guru sampai saat artikel ini disiarkan.
Tok Guru terus mengarang buku ketika di IJN.
Para pembencinya terus mengarang dosa untuk bekalan mati.
Orang benci Tok Guru kerana perjuangannya.
Di Padang Mahsyar, musuhnya merangkak mencari ampunnya.
Sejuklah pengikut, bernaung di bawah pimpinannya.
Semoga Allah terus memeliharamu, Tuan Guruku.
MAMPU CENTRE
