TUDUHAN MUNGKIR JANJI TERHADAP SUMPAH JAWATAN
Kehadapan Yang Berhormat Mulia Tengku, diiringi dengan doa agar TBM Tengku dan keluarga sentiasa berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan dilindungi Allah dari segala kesulitan dan kemudaratan.
Dengan penuh takzim, saya merujuk kepada dan berterima kasih di atas perutusan surat YBM Tengku bertarikh 25hb Jun 2021.
Saya menerima segala kritikan YBM Tengku dengan hari yang terbuka.
Sesungguhnya saya sentiasa menghargai semua perbincangan isu semasa secara ilmiah dan berteraskan adab sopan dan budaya ketimuran kita selaras dengan prinsip rukunegara yang kelima, iaitu “kesopanan dan kesusilaan”.
Namun, dengan hormat terlebih dahulu, saya perlu nafikan bahawa saya telah melanggar sumpah jawatan dan telah tidak menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Persekutuan ataupun mengikut lunas-lunas kewajipan saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, mahupun lunas sistem demokrasi yang negara kita amalkan.
Mengenai ulasan dan penyataan YBM Tengku di perenggan 6 surat tersebut, izinkan saya dengan rendah diri sekali lagi menerangkan amalan dan konvensyen mengenai bagaimana sesuatu usul undi tidak percaya itu diuruskan di dalam amalan Parlimen negara-negara Komanwel.
Sebagai permulaan YBM Tengku, adalah menjadi amalan di negara-negara Komanwel bahawa urusan-urusan Kerajaan diberi keutamaan.
Di Malaysia, perkaraini termaktub di dalam perkara 14(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.
Amalan ini bukanlah unik kepada Malaysia.
Peraturan 14 UK House of Commons dan 35 Australian House of Representatives juga, sebagai contoh, menyatakan perkara yang sama (walaupun terdapat beberapa pengecualian do dalam peraturan-peraturan mereka, yang bagi maksud perbincangan kita adalah tidak berkenaan).
Amalan sebegini mempunyai latar belakang sejarah di United Kingdom, apabila pada 30hb Januari 1902, Arthur Balfour mencadangkan agar pihak Kerajaan diberi lebih masa untuk menjalankan urusan-urusan Kerajaan.
Beliau menyatakan:-
“I feel this very strongly. As regards the arrangement of business, we ho[e to lay down such a general plan as should relieve us from the necessity of constantly coming to the House and asking the House to give us further facilities for business. At present, by our standing order, the Government have Mondays and Thursdays and nothing else. No government can, or for years has, conducted the public business entrusted to it on that very limited asset. It must come for more time; and the result is that the arrangements of private Members as regards their Motions and Bills are thoroughly upset.” (penekanan oleh saya).
Perlu diperhatikan bahawa di dalam ucapan di atas, masa urusan Kerajaan dianggap sebagai satu aset.
Berikut daripada amalan di atas, apa-apa usul bukan kerajaan yang hendak dipercepatkan pembentangan dan perbahasannya perlulah diberi laluan oleh Kerajaan.
Ini termaktub di dalam Peraturan 14(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesuarat kita yang mana dinyatakan bahawa hanya Majlis Mesyuarat sahaja yang dapat memutuskan untuk tidak mengikut aturan yang telah ditetapkan.
Untuk tujuan itu, satu usul mestilah dibawa oleh seorang Menteri, yang melalui amalan kita, mestilah Menteri Undang-undang dan Parlimen.
Perlu diperhatikan di sini bahawa saya selaku YDP Dewan Rakyat tidak diberi kuasa untuk membuat apa-apa keputusan sedemikian.
Sekiranya saya membuat keputusan sebegitu, maka saya pasinya melakukan suatu perlakuan tanpa punca kuasa dan di luar kuasa saya (“ultra vires”).
Sekiranya saya berbuat demikian juga, saya juga boleh dianggap sebagai telah merampas (“usurp”) kuasa Majlis Mesyuarat.
Saya akui bahawa di dalam amalan Parlimen United Kingdom, sememangnya terdapat konvensyen di mana sesuatu ususl undi tidak percaya itu akan diberi keutamaan dan dipercepatkan pembentangan dan perbahasannya terlebih awal daripada apa-apa urusan lain.
Namun, keuamaan itu bukanlah diberikan oleh Speaker.
Keutamaan itu diberi apabila pihak Kerajaan memberi persetujuan kepada permintaan pihak pembangkang untuk memperuntukkan sehari bagi membahaskan usul undi tidak percaya.
Erskine May di dalam bukunya “Parliamentary Practice” menulis:-
“By established convention, the government always accedes to the demand from the Leader of the Opposition to allot a day for the discussion of a motion tabled by the official Opposition which, in the Government’s view, would have the effect of testing the confidence of the House. In allotting a day for this purpose, the Government is entitled to have regard to the exigencies of its own business, but a reasonably early day is invariably found.“ (penekanan oleh saya)
Mantan YDP Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusoff, di dalam buku beliau “Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat”, setelah merujuk kepada konvensyen yang dinyatakan oleh Erskiine May di atas, pada muka surat 341 menulis:-
“In the context of Malaysia, the fate of the relativelysmall number of no-confidence motions filed appears to contradict the existence of a similar convention.
…Ordinary Member’s Motions, however, will also invariable not find time to be moved, given the rule and convention that government business takes precedence, such that Ordinary Member’s Motions will in the course of events lapse.” (penekanan oleh saya).
Pemakaian amalan di atas boleh dilihat secara jelas pada 18hb Disember 2018 di Parlimen UK apabila Tang Berhormat Valerie Vaz bangun untuk menanyakan kenapa satu usul undi tidak percaya yang dibuat masih belum dibahaskan.
Speaker House of Commons pada masa itu menjawab:-
“I thank the Hon. Lady for her courtesy in giving me advance notice of her intended point of order. The short answer to her question is that I have had no such indication from the Government that they have any intention of acceding to the request for a debate on the motion, although I have no doubt that her plea has been heard on the Treasury Bench.” (penekanan oleh saya).
YBM Tengku, jelas dari di atas, bahawa Speaker tidak langsung mempunyai kuasa untuk mempercepatkan apa-apa usul undi tidak percaya untuk dibahaskan terlebih awal daripada urusan-urusan lain mengikut aturan Majlis.
Untuk memberi keutamaan kepada usul undi tidak percaya, mengikut konvensyen Parlimen UK, lakuan perlulah diberikan oleh pihak Kerajaan.
Ini selari dengan anggapan bahawa masa urusan Kerajaan itu ialah satu aset.
Di Parlimen Malaysia pula, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat menetapkan bahawa hanya Majlis Mesyuarat yang dapat memutuskan untuk lari daripada aturan Mesyuarat yang telah ditetapkan.
Saya selaku YDP Dewan Rakyat hanya menjalankan tugas mengikut kuasa yang adapada saya dan mengikut kerangka perundangan sedia-ada.
Sekiranya mahu ditukar peraturan sedia-ada, itu terpulanglah kepada Jawatankuasa Peraturan dan Dewan Rakyat sendiri.
Dengan hormat yang terlebih dahulu, tuduhan YBM Tengku bahawa “tugas Dewan Rakyat tidak dihirau dan sekaligus bercanggah dengan Sumpah Jawatan” adalah tidak benar dan saya nafikan sekeras-kerasnya.
Mengenai komen YBM Tengku di perenggan 9 surat tersebut, sememangnya apa-apa kesalahan di bawah seksyen 9(d) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (bukannya seksyen 8(d) seperti yang dinyatakan oleh YBM Tengku) bolehlah diambil tindakan sekiranya dibuktikan.
Namun, sekali lagi, tindakan itu bukanlah boleh diambil oleh saya.
Ianya hendaklah diambil oleh Majlis Mesyuarat melalui satu usul.
Saya menghormati pandangan YBM Tengku mengenai apa yang YBM Tengku anggap sebagai “kemelut lompat melompat parti”.
Di dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi SPR, perkara ini pernah diberi perhatian dan banyak perbincangan telah diadakan untuk mewujudkan satu undang-undang mengenainya.
Namun wujud kekangan keperlembagaan yang mungkinakan menidaksahkan apa-apa undang-undang yang diluluskan untuk menghalang pertukaran parti dari kalangan ahli-ahli Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
Saya tidak mahu membuat apa-apa komen mengenai keputusan-keputusan Mahkamah mengenai perkara tersebut kerana saya menghormati kedudukan dan kuasa Mahkamah di dalam prinsip pemisahan kuasa yang kita amalkan di mana Mahkamah merupakan badan yang mentafsirkan undang-undang kita, termasuklah Perlembagaan Persekutuan.
Saya percaya bahawa apa-apa keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamahyang mulia mengenai perkara tersebut telah dibuat dengan menggunakan kebijaksanaan Mahkamah setelah mengambil kira semua faktor yang berkenaan.
Keputusan-keputusan tersebut merupakan undang-undang yang terpakai dan mengikat kita semua rakyat Malaysia, sehinggalah tafsiran itu diterbalikkan oleh Mahkamah yang lebih tinggi ataupun yang terkemudian.
Namun, sebagai seorang pengamal undang-undang. saya percaya bahawa langkah yang lebih baik di dalam menangani ,asalah politik bukanlah melalui proses Mahkamah.
Kes masalah politik sepatutnya ditangani oleh proses politik dan perundangan.
Sekiranya difikirkan sesuai, saya berpendapat bahawa satu undang-undang mengenai pertukaran parti bolehlah digubal oleh Parlimen.
Demikian jawapan saya mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan oleh YBM Tengku dan besarlah harapan saya agar jawapan saya ini sedikit sebanyak dapat memberi penerangan kepada YBM Tengku mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam surat YBM Tengku.
Oleh kerana surat YBM Tengku telah disiarkan untuk khalayak umum, demi menjamin keseimbangan pandangan maka saya juga akan mengambil langkah yang sama.
Sekian, terima kasih.
Salam Hormat.
Datuk Azhar Azizan Harun




