Fahami Cerita Balik Tabir

Fahami Cerita Balik Tabir

Dapat sedikit pelajaran berkenaan isu-isu semasa dalam politik daripada orang-orang cerdik pandai.

Terima kasih atas kesudian berkongsi.

Bagi yang tidak mencari atau kurang atau tiada maklumat, tak apa, saya cuba bantu.

Sekurang-kurangnya untuk memahami situasi.

Saya cuba menerangkan bagi yang mahu membaca dan tahu sedikit sebanyak selok belok politik.

Apa yang dimainkan di belakang tabir.

Bagi yang kurang minat politik, anda pun patut baca, hanya sekadar memenuhi masa kosong.

Tetapi insyaAllah ada benda yang mungkin baru bagi anda.

Isu berkenaan isu ‘Bendera Putih’ yang telah dikaji dan memberikan hasil yang membuatkan sebelah pihak tersenyum.

Hampir di semua negeri kecuali Labuan, isu ini mendapat tempat bagi pelayar internet.

Sehinggakan Kelantan dan Terengganu dua negeri peratusan Melayu tertinggi juga menunjukkan peratusan 70 dan 80 peratus.

Ia telah mengalihkan isu PEMULIH iaitu bantuan khas dari kerajaan kepada rakyat.

Melalui Pemulih hampir semua yang diminta diperolehi rakyat, walaupun ada syarat-syarat lain.

Jadi isu ‘Bendera Putih’ dinaikkan bagi rakyat melupakan bantuan kerajaan ini.

Bagi rakyat yang membaca isu ini selapis, kita faham akan kekurangan maklumat yang mereka diperolehi.

Ada tak pembangkang menyerang isu Pemulih? Tiada.

Mereka biarkan sahaja, tetapi bawa isu Bendera Putih.

Manakala orang politik, mereka membacanya berlapis-lapis kerana mereka mahir dengan isu.

Kumpulan politik yang bijak ialah mereka yang berjaya menggunakan ruang yang ada bagi menaikkan imej mereka.

Segalanya berkenaan mencipta isu dan persepsi, serta bagaimana menanganinya.

Strategi serampang dua mata pembangkang ini dilihat bagaikan Kerajaan PN tidak cakna rakyat.

Ditambah lagi dengan ada segelintir rakyat yang sibuk menyebarkan berita palsu, yang tidak mereka ketahui asal usul kejadian, membantu lagi menguatkan isu ini.

Lebih malang, ramai pula yang percaya.

Bantuan YB-YB sudah hampir menyeluruh.

Tidak dinafikan mungkin ada sebilangan kecil tercicir, tetapi ia boleh diatasi dan bukannya sehingga negara kelihatan seperti tidak mampu menangani isu ini.

Terkadang ada yang sudah meminta dan mendapat bantuan berkali-kali, masih mahukan lagi.

Terjadi di Tendong Pasir Mas, ada orang yang memberikan bantuan, lalu mereka meminta agar penerima menaikkan bendera untuk mereka mengambil gambar sebelum menurunkannya kembali.

Demikian juga di Selayang dan Rantau Panjang bendera dikibar kerana ada pihak yang minta tuan rumah menaikkannya.

Sehinggakan terlupa, di kawasan wakil mereka sendiri bendera turut dinaikkan.

Apa wakil mereka buat?

Pimpinan PAS secara dasarnya tidak pernah menghalang bagaimana cara mahu meminta bantuan.

Tetapi dalam hal ini, mereka mendapat maklumat yang jelas perjalanan musuh menggunakan isu ini.

Oleh itu menolak kempen ini adalah cara mempertahankan diri, kerana tahu musuh akan mengambil kesempatan.

Seruan berdoa tidaklah salah dan kempen mengangkat bendera juga, memudahkan petugas PAS membantu.

Namun apa yang kita bincangkan ialah agenda di sebalik itu.

Jika bertanya kepada orang alim bukan ahli siasah, apa hukum mengangkat bendera putih kerana keputusan makanan, jawapannya hanya lurus berkenaan fekah sahaja, halal, haram, harus kerana tiada informasi.

Tetapi jika ditanya orang alim dari latar belakang siasah, jawapannya lain berdasarkan maklumat yang mereka ada.

Bantuan dari PAS kepada rakyat, mungkin tidak banyak, tetapi tidak pernah putus insyaAllah.

Namun, jika ada yang mahu mengungkit bantuan anda semua kepada orang susah, atau mendakwa YB-YB tidak kenal erti miskin, konon anda adalah bersama denyut nadi rakyat, anda silap besar.

Beribu ragam, perangai, penipuan, keikhlasan, airmata, kesengsaraan, kegembiraan dapat disaksikan apabila YB bertemu rakyat.

Mereka sudahpun puluhan tahun bersama rakyat membantu, malah dihina dan juga dicaci. Anda sanggup?

Ramai yang tahu kempen ini.

Ia disebarkan melalui media sosial, tetapi tidak pula tahu untuk menghubungi pusat khidmat sedangkan hanya perlu menggunakan platform yang sama.

Jika dikata ada orang yang memberitahu sekalipun, kenapa orang itu juga tidak memberitahu pejabat Adun atau bantu mencarinya?

Sanggup dia tidak menolong sehingga mangsa melarat, dan suruh angkat bendera. Pelikkan?

Begitulah kami sentiasa bergelumang.

Setiap kali kami mempunyai peluang yang baik untuk menerajui negara, kami akan diganggu.

Biasanya gangguan mereka ini akan membawa bersama massa di belakang mereka, konon membela rakyat.

Tetapi ingatkah anda apa yang mereka lakukan 22 bulan ketika berkuasa?

Hari ini dikhabarkan akan ada kempen menaikkan bendera hitam pula.

Berkebetulan para doktor sekarang sedang bersolidariti memakai pakaian hitam atas isu yang mereka hadapi.

Nanti kumpulan ini boleh mendakwa para doktor menyokong mereka pula.

Sentiasa mereka mencari kawasan kelabu untuk mereka menumpang isu, menyerang lawan.

Anda yang tidak terlibat dengan politik penat dengan politik?

Kami juga penat, tetapi apakan daya, demi mahu mendirikan negara yang lebih baik, kami telan semuanya.

Di bawah saya sertakan perbandingan antara Bendera Putih dan Pemulih yang ada dalam Google untuk bacaan anda.

Semoga bermanafaat.

Explore search interest for Pemulih, Bendera putih by time, location and popularity on Google Trends – https://trends.google.com/trends/explore?hl=en-US&tz=-480&date=now+4-H&geo=MY&q=Pemulih,Bendera+putih&sni=6

Mohd Nasir Abdullah

Isu Semasa