Isu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dicanang akan menjadi Perdana Menteri selepas mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, adalah mustahil untuk Ahmad Zahid mampu memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana tidak cukup majoriti dalam Parlimen berbanding blok terbesar Pakatan Harapan (PH).
Tambahnya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak.
“Sekali pun Anwar mahu memberikan jawatan itu kepada UMNO, ia belum tentu dipersetujui rakan parti dalam gabungan PH terutama DAP dan PKR.
“Sekarang ini kita lihat siapa yang dapat majoriti, kalau Ahmad Zahid bersama PH, UMNO ada 38 kerusi sedangkan PH ada hampir 90 dan Anwar pula Pengerusi PH.
“Jadi tidak mungkin Ahmad Zahid akan jadi Perdana Menteri kerana mengikut undang-undang, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan melantik seseorang yang ada majoriti dalam Parlimen untuk jawatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.