Saya sengaja memulakan dua siri tulisan sebelum ini dengan menekankan kepada aspek pendidikan dan nilai ketuhanan.
Premis saya mudah.
Pendidikan menjadi asas pembentukan akhlak dan tingkah laku manusia.
Sesiapa pun kita, baik ibu bapa, negara, orang politik, guru, pegawai atasan dan sesiapa sahaja pasti mahukan orang di bawah mereka atau rakan-rakan adalah dalam kalangan yang baik dan mempunyai nilai terpuji.
Agama menjadi asas penting dalam pembentukan nilai manusia terbaik.
Malangnya, segelinitir manusia menjadikan beberapa sifat terkeji sebagai mainan biasa dalam kehidupan.
Dosa dan pahala sudah tidak menjadi pertimbangan.
Dalam keadaan biasa sekalipun fitnah merupakan nilai keji.
Tiada manusia normal yang menyukai perangai dan sifat seumpama ini.
Umumnya fitnah merupakan suatu tuduhan atau perkara yang diada-adakan untuk memburukkan seseorang atau pihak tertentu.
Dalam Islam, fitnah merupakan salah satu sifat mazmumah (keji).
Sifat ini adalah sifat syaitan.
Dalam al-Quran, Surah al-Maidah ayat 91, firman Allah SWT yang bermaksud;
“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.”
Melihat kepada fenomena semasa, fitnah sudah menjadi senjata dan mainan biasa kepada pihak tertentu.
Rasa bersalah terhadap kesalahan dan kekejian ini kian terhakis.
Ada kalangan yang ingin dapatkan pangkat menggunakan fitnah sebagai senjata.
Ada juga kalangan ahli politik menjadikan fitnah sebagai bahan harian untuk bersaing dengan pihak lawan mereka.
Sesiapa pun yang menjadikan fitnah sebagai senjata mendapatkan kemenangan adalah jijik dan keji.
Hanya kalangan yang tidak bermaruah dan pengecut menggunakan fitnah untuk merealisasikan hajat mereka.
Sedarlah bahawa finah merupakan sifat syaitan.
Jangan samakan diri anda dengan syaitan dan jangan jadi manusia yang pengecut.
YB DR. ALIAKBAR BIN GULASAN
Setiausaha PAS Sabah