HUZAIFAH bin al-Yaman merupakan seorang Sahabat yang memiliki daya keprihatinan luar biasa terhadap jangkaan-jangkaan krisis yang bakal dihadapi oleh umat Islam.
Kelebihan ini diperakui oleh para Sahabat, terutamanya Saidina Umar sendiri.
Pintu fitnah akan dipecahkan
Terdapat Hadis Sahih yang telah direkodkan oleh Bukhari dan Muslim berkenaan bilakah zaman fitnah akan melanda umat Islam secara besar-besaran.
Pada suatu hari Huzaifah menceritakan ketika mereka duduk bersantai dengan Amirul Mukminin Umar al-Khattab, lalu berlangsunglah dialog berikut:
Umar: “Siapakah dalam kalangan kamu yang mengingati Hadis Nabi berkenaan fitnah?”
Huzaifah: “Saya”
Umar: “Sesungguhnya engkau berani dalam topik ini. Maka bagaimana pesanan Baginda?”
Huzaifah: “Saya mendengar Rasulullah bersabda:
فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُها الصَّلاة وَالصَّوْمُ وَالصَّدَقَةُ والأمْرُ بالمَعروفِ والنَّهْيُ عَنِ المُنْكَرِ
“Fitnah yang menimpa ke atas seseorang akan turut membabitkan keluarganya, hartanya, anaknya dan jirannya. Ia boleh dileburkan dengan solat, puasa, sedekah serta amar makruf dan nahi munkar”
Umar: “Bukan itu yang saya maksudkan:
“Tetapi yang saya maksudkan adalah fitnah yang akan merempuh seperti ombak menghempas pantai.”
Huzaifah: “Engkau tidak akan berdepan dengan rempuhan fitnah tersebut wahai Amirul Mukminin:
“Sesungguhnya antara dirimu dan fitnah tersebut, terdapat pintu tertutup yang menghalanginya.”
Umar: “Apakah pintu itu akan dipecahkan atau akan dibuka?”
Huzaifah: “Bahkan ia akan dipecahkan.”
Umar: “Jika begitu ia tidak boleh ditutup kembali selama-lamanya.”
Melalui dialog ini, perawi yang bernama Syaqiq bertanya kepada Huzaifah, siapakah pintu yang dimaksudkan akan menjadi penghalang kepada fitnah besar dan akhirnya akan dipecahkan?
Lantas Huzaifah menjawab pintu itu adalah Saidina Umar sendiri.
Ibadat-ibadat yang penting
Sememangnya menjadi amalan para Sahabat sering berdiskusi ilmu berkaitan hal ehwal Islam dan umatnya.
Termasuklah Hadis di atas, Saidina Umar selaku Amirul Mukminin turut serta berdiskusi dan menuntut perkongsian wasiat-wasiat Nabi dari para Sahabatnya.
Jawapan awal Huzaifah menerangkan bahawa fitnah itu sifatnya melata dan saling berkait antara satu sama lain.
Beliau menerangkan ibadat-ibadat yang boleh membentengi diri kita dari fitnah yang melata:
1. Solat dapat memulihkan hubungan dengan Allah dan berfungsi membuahkan ketenangan jiwa.
2. Puasa dapat mengekang nafsu dan memupuk rasa empati terhadap golongan yang susah.
3. Sedekah dapat membersihkan harta dan membantu golongan yang mengalami kesusahan akibat menjadi mangsa persaingan dunia.
4. Manakala dakwah merupakan tanggungjawab sosial yang berfungsi memupuk nilai-nilai yang baik serta menjadi benteng masyarakat dari dirosakkan.
Umar adalah penghalang fitnah
Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, Huzaifah tidak menyebut nama Umar secara jelas kerana beradab dengannya.
Sekalipun beliau sangat pasti Umar sudah maklum bahawa pintu yang menghalangi fitnah itu adalah dirinya sendiri, iaitu Umar.
Dalam riwayat yang lain saat mendengar jawapan Huzaifah, Umar terus berdoa agar fitnah tersebut tidak sempat berlaku ketika hayatnya.
Lantas Huzaifah menenangkannya agar usah bimbang, kerana ia tidak berlaku selagi Umar masih hidup.
Seterusnya Ibnu Hajar al-Asqalani mengkaitkan fitnah besar-besaran yang dibimbangi itu adalah apabila sesama umat Islam berperang menggunakan senjata sesama sendiri.
Apabila ia berlaku, maka tanda zaman fitnah telah bermula dan ia terus berlangsung tidak akan berakhir hingga kiamat.
Dalam dialog dengan Huzaifah, Saidina Umar telah mendapat isyarat bahawa dirinya akan mati terbunuh.
Isyarat tersebut merujuk kepada jawapan Huzaifah selaku penyampai perkhabaran dari Nabi bahawa ‘pintu’ yang menghalangi fitnah itu akan dipecahkan, bukan dibuka yang boleh ditutup kembali.
Pintu itu adalah Umar.
Ternyata setelah syahidnya Umar, berlaku pemberontakan yang mengakibatkan pembunuhan Saidina Uthman.
Lalu akhirnya tercetuslah peperangan yang turut dikenali sebagai Fitnah Kubra.
Polisi-polisi Umar
Amirul Mukminin Umar al-Khattab terkenal sebagai orang yang tegas.
Namun ketegasannya bukan sekadar simbol, bahkan terhasil dari kebijaksanaan-kebijaksanaan yang luar biasa.
Beliau sangat faham akan agama dan fungsi agama.
Ketokohannya turut diperakui oleh Nabi, antaranya:
لَوْ كَانَ بَعْدِي نَبِيٌّ لَكَانَ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ
“Kalaulah selepasku ada nabi, pastilah Umar bin al-Khattab.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim)
Secara ringkas, kebijaksanaan Saidina Umar dapat dilihat melalui polisi-polisi politiknya.
Beliau sangat terbuka dan tidak ambil hati sekiranya dikritik walaupun secara terbuka.
Beliau tahu peranan ‘check and balance’ dalam menjamin keadilan serta keharmonian.
Umar objektif ketika membahaskan permasalahan dan konsisten menegakkan prinsip yang luhur.
Beliau tegas dalam masa yang sama prihatin dengan nasib bawahan.
Umar jugalah yang akan memeriksa gaya hidup pegawai-pegawai dan gabenor-gabenornya, agar jangan terpalit dengan isu kemewahan yang bakal menyinggung rakyat bawahan.
Bahkan kaum keluarganya dilarang sama sekali dari dilihat memanfaatkan kedudukannya.
Jika kita mahu katakan keadilan itu mesti adil dan kelihatan adil, itulah sikap Saidina Umar.
Beliau tidak tunggu sesuatu keburukan itu berlaku.
Sebaliknya beliau banyak mengaplikasikan sadduzzarai’, yang menyebabkan elemen-elemen negatif tidak sempat berlaku dan tidak sempat membudaya dalam kalangan masyarakat di zamannya.
Saat umat Islam berjaya menakluk Rom dan Parsi, sekali gus kembali menguasai Baitul Maqdis, Umar tegak berdiri mengingatkan nilai kemuliaan umat terletak pada Islamnya.
Bukan semata-mata pada prestij kuasanya.
Orang yakin mendengar pesanan Umar kerana beliau yang mengamalkannya terlebih dahulu.
Jika kita mengkaji sikap-sikap yang melatari cara kepimpinan Saidina Umar, maka kita akan sedari bahawa selayaknya beliau disifatkan sebagai ‘pintu’ yang menghalangi fitnah dari menerkam umat Islam.
Umar al-Khattab banyak mengajar kita bagaimana mahu menyelamatkan umat.
USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
