Sejak akhir-akhir ini menampakkan politik Bumiputera terutama Umno semakin dibingkaikan sebagai parti yang berpecah belah dan melawan arus perubahan politik negara ini.
Kelihatan juga dalam strategi komunikasi, politik Umno berjaya dibingkaikan sebegini kerana terdapat beberapa kebenaran mengenai hal tersebut.
Politik pembingkaian adalah bagaimana media massa digunakan sebagai satu gambaran bingkai yang mempunyai fakta tetapi dalam scenario yang membiaskan imej sasaran parti atau individu tertentu.
Di sini kelihatan parti Umno telah dibingkaikan sejak penubuhan kerajaan diterajui Perikatan Nasional sebagai sebuah parti yang melawan arus politik Bumiputera dalam zaman integrasi politik.
Terdapat beberapa insiden yang disengajakan oleh kepimpinan tertinggi Umno untuk menarik diri daripada integrasi politik kerajaan diterajui Perikatan Nasional.
Bermula dengan Perhimpunan Umno 2021 hingga terkini, insiden untuk membuat keputusan Parlimen bersidang di atas menjunjung titah Yang DiPertuan Agong.
Insiden demi insiden ini akhirnya membingkaikan Umno sebagai sebuah parti politik bingai dalam arus politik negara hari ini.
Berkemungkinan pemimpin-pemimpin Umno hari ini tidak sedar akan persepsi politik bingai Umno hari ini oleh masyarakat awam.
Jika persepsi ini terus menerus dibina hari demi hari akan sampai satu ketika nanti, Umno akan ditolak seperti mana yang berlaku kepada parti Golkar di Indonesia.
Tidak mustahil hal sedemikian boleh berlaku.
Dalam isu persetujuan dalam kalangan kepimpinan Umno untuk memanggil bersidang turut mengundang satu konflik.
Konflik ini berakhir dengan wujudnya desakan supaya kepimpinan Presiden berundur dari jawatan beliau dalam Umno.
Ini telah membingkaikan bahawa Umno kini masih tidak berubah walaupun sudah mempelajari sebab-sebab kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14.
Sepatutnya Umno kini perlu membina satu bingkai gambaran yang lebih baik dalam kerajaan diterajui Perikatan Nasional.
Sokongan di peringkat akar umbi masih ada untuk Umno tetapi sokongan masyarakat kelas pertengahan yang berpendidikan agak kritikal ke atas tindakan dan kata-kata daripada pemimpin-pemimpin Umno.
Walaupun kelihatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai ahli tidak seramai Umno, tetapi pembingkaian ke atas parti PPBM ini masih memuaskan setelah 18 bulan pemerintahan sebagai kerajaan negara ini.
Walaupun terdapat kritikan ke atas cara kerajaan yang diterajui oleh PPBM menangani wabak pandemik Covid19, tetapi perlu diingatkan, musibah wabak pandemik ini masih terkawal dan telah menunjukkan penurunan di beberapa negeri setelah lebih dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan.
Kebajikan rakyat dan kebijaksanaan bagaimana kerajaan diterajui Perikatan Nasional memberikan ruang untuk perniagaan dibuka di samping mengawal wabak pandemik ini perlu dihargai.
Pada masa kini, serangan untuk membingkaikan kerajaan diterajui Perikatan Nasional adalah kerajaan gagal kurang berjaya mempengaruhi persepsi masyarakat awam.
Pembingkaian tersebut gagal dan kurang menampakkan PPBM adalah parti politik bingai.
Ini menunjukkan kepemimpinan politik perlu sedar bahawa keutuhan kerajaan adalah disumbangkan oleh kerjasama dan kepercayaan antara mereka dalam sebuah komponen parti kerajaan hari ini.
Sebaliknya parti pembangkang pada hari ini kurang effisien dalam menyerang parti kerajaan disebabkan kurangnya isu yang dapat membingaikan politik parti kerajaan.
Ini amat penting bila tarikh keramat untuk PRU semakin menjadi bualan harian bukan sahaja pemimpin politik tetapi juga rakyat.
Pengajaran kekalahan Barisan Nasional dalam PRU 14 sepatutnya dijadikan garis panduan bagaimana perlu menguruskan sesebuah parti agar tidak kelihatan seperti politik bingai.
Jika pengajaran ini kurang memberikan impak besar akhirnya akan menyebabkan politik Barisan Nasional ibarat politik durian terlebih masak.
Politik durian terlebih masak akan menjauhkan pihak umum daripada mendekati parti Barisan Nasional.
Walaupun sudah ada tanda-tanda positif persepsi ke Barisan Nasional.
Seperti durian terlebih masak, persepsi umum sentiasa melihat dengan rasa masam dan memualkan ke atas kepimpinan sedia ada Barisan Nasional.
Ini memberikan tanda bahawa kepimpinan yang sedia ada hari ini perlu mengundur diri untuk membenarkan barisan pelapis menggantikan supaya politik durian yang masak sedap dilihat oleh persepsi umum.
Umno yang masih mengepalai Barisan Nasional perlu menormalisasi situasi politik hari ini.
Tindakan melawan arus politik hari ini perlu dihentikan sehingga tiba masa PRU 15.
Pembingkaian ke atas jajaran baru oleh kepimpinan Umno hari ini perlu dimatikan jika tidak ingin dipersepsikan politik bingai.
Bukan masanya untuk menerajui perubahan politik Bumiputera.
Sebaliknya rawat diri dengan mengundurkan pemimpin-pemimpin yang bermasalah daripada menazakkan Umno.
Ini amat penting supaya kerjasama dalam kerajaan diterajui Perikatan Nasional dapat memberikan manfaat kepada rakyat.
Dilema yang dihadapi Umno hari ini adalah untuk seia sekata sebagai satu pasukan bersama kepemimpinan kerajaan diterajui Perikatan Nasional terutama berkaitan dengan pentadbiran kerajaan.
Komitmen Umno amat penting bersama dengan kerajaan hari in untuk melawan wabak pandemik Covid19.
Krisis yang melanda Umno hari ini perlu dijernihkan semula dan agar tidak berulang kembali.
Soal menaikkan mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri oleh mana-mana kepimpinan Umno juga perlu dihentikan.
Ini amat penting untuk tidak menampakkan Umno adalah perancang utama dalam menjatuhkan kerajaan diterajui Perikatan Nasional.
Ini adalah satu serangan politik pembingkaian untuk memperlihatkan Umno sebagai parti yang rakus akan kuasa dan tidak mempedulikan nasib rakyat.
Gambaran-gambaran seperti ini sentiasa untuk mematikan kebangkitan semula Umno dalam arus politik Melayu hari ini.
Umno juga tidak perlu mewarisi legasi politik veteran dalam menguruskan hala tuju politik tersebut.
Justeru, satu langkah baru perlu dibuat semula untuk membingkaikan Umno dalam gambaran baru yang bersih dari rasuah, gila kuasa dan sentiasa berbalah sesama sendiri.
Iskandar Hasan Tan Abdullah
Mohd Ridhuan Tee Abdullah