Tabung Bencana Covid PAS Serah 11 Tan Beras Ke Negeri Selatan

Tabung Bencana Covid PAS Serah 11 Tan Beras Ke Negeri Selatan

Sekretariat Tabung Bencana COVID (STBC) PAS Pusat pada hari ini telah menyerahkan 11 tan beras kepada beberapa buah negeri sebagai kesinambungan gerakerja untuk menyantuni masyarakat yang terkesan dengan bencana Covid.

11 tan beras ataupun 2,200 kampit beras ini telah dihantar ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan kesemua telah disalurkan melalui Pengerusi STBC PAS Negeri dan ianya telah diterima oleh wakil daripada negeri yang terlibat.

Menurut Ketua Pengarah Operasi STBC Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, penghantaran beras ini telah diagihkan melalui STBC Negeri-negeri dan hari ini ianya telah berjaya disampaikan kepada Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala pada hari Isnin hadapan, sumbangan beras akan disalurkan kepada negeri Pahang.

Di Negeri Sembilan, serahan beras ini telah dibuat di Teratak Amal yang terletak di Kampung Sungai Layang, Rembau manakala di Melaka ianya telah diserahkan di Pejabat PAS Negeri Melaka di Semabuk.

Di Johor pula, sumbangan beras ini telah diserahkan di tiga lokasi iaitu di Pejabat Operasi Khidmat Malaysia Negeri Johor di Simpang Renggam, Pejabat PAS kawasan Kulai di Bandar Putra dan PASTI Al-Falah, Kota Tinggi.

STBC adalah merupakan langkah berterusan PAS dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara selain diharap dapat membantu golongan yang memerlukan bersesuaian dengan situasi yang sedang dihadapi negara pada ketika ini.

STBC PAS Pusat dipengerusikan oleh Dr Rosni binti Adam merangkap Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat.

Menurut Dr Rosni, STBC terus meletakkan keutamaan rakyat di hadapan bagi memastikan kesejahteraan negara dikecapi setiap rakyat.

“Sumbangan beras ini adalah merupakan sebahagian daripada perancangan STBC menyalurkan kepada negeri-negeri untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan.”

“STBC akan berusaha untuk memastikan bahawa setiap masyarakat disantuni oleh para patugas di semua peringkat mengikut kemampuan dan keupayaan yang dimiliki” tambah beliau.

STBC sebelum ini telah mengumumkan penerimaan sumbangan sebanyak RM 423,857.04 daripada pelbagai pihak termasuk daripada semua 116 orang wakil rakyat PAS, Badan-Badan Perhubungan PAS negeri, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Pendukung PAS dan masyarakat awam.

Isu Semasa