“Kenapa kamu bersikap seperti ini?”: Pegawai kesihatan Terengganu Menegur Sikap Keingkaran Orang Awam
Dengan lebuh raya semakin sesak walaupun terdapat larangan merentas negeri, pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus menempelak mereka yang masih berkeras mahu melakukan perjalanan balik kampung sempena Hari Raya Aidiladha yang akan datang.
“Tidakkah anda mendapat pelajaran dari perayaan Aidilfitri?
“Kementerian Kesihatan menasihati anda semua berkali-kali untuk tidak melakukan perjalanan untuk membendungi COVID-19 tetapi ia seperti berkata-kata kepada orang pekak.
“Hasil akhirnya, jangkitan COVID-19 meningkat di seluruh negara, dengan jumlah kematian meningkat setiap hari.
“Sekarang, anda juga mahu melakukan hal yang sama. Masih menyusuri jalan raya untuk menyebarkan virus ke kawasan baru,” katanya, dalam catatan di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan.
Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan bahawa lalu lintas meningkat di Plaza Tol Gombak, menuju ke barat dan ke Kuala Lumpur, dan di Plaza Tol Bentong, menuju ke timur dan ke Kuantan.
Khuatir dengan peningkatan lalu lintas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan bahawa surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak sah untuk perjalanan melintasi sempadan negeri, mulai 18 hingga 21 Julai.
Dr Nor Azimi berkata, hanya tiga minggu negeri ini mengekalkan angka harian kes jangkitan Covid-19 dua digit, bagaimanapun dalam tempoh dua minggu akhir-akhir ini, lapan kluster baharu dikesan susulan rentas negeri sehingga menyebabkan bilangan kes meningkat.
“Ada kluster menular ke beberapa daerah… adakah kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini..?
“Ada kluster buat majlis tahlil tiga malam, diundangnya ustaz dan pelajar tahfiz… akhirnya menjangkiti ramai pelajar tahfiz dan beberapa lagi tenaga pengajar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan penularan varian baharu Covid-19 iaitu varian Delta yang memiliki kekuatan jangkitan sangat luar biasa.
Katanya, masyarakat yang berada di luar negeri ini dan bercadang untuk pulang menyambut Aidiladha disaran berfikir serta bertindak bijak untuk bersama melindungi diri sendiri dan orang lain.