Pembangkang Restui Tindakan Langgar Undang-undang

Pembangkang Restui Tindakan Langgar Undang-undang

Tindakan pasukan guaman DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menawarkan khidmat pro bono kepada tiga aktivis yang menganjurkan protes #KeluardanLawan di Dataran Merdeka bagi mencabar kompaun yang dikenakan ke atas mereka di mahkamah memberi mesej yang salah kepada rakyat.

Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana tindakan parti itu cenderung ke arah menggalakkan rakyat untuk melanggar undang-undang negara.

Menurutnya, kenyataan sama dikeluarkan seorang pemimpin DAP yang juga ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menyokong tindakan tersebut akan memberikan persepsi kepada orang ramai untuk memburukkan imej kerajaan tanpa sebarang ancaman.

“Bila pemimpin DAP mahu membela tindakan begini, ia memberikan gambaran seolah-olah DAP merestui tindakan melanggar undang-undang semata-mata untuk mencemarkan imej dan menjatuhkan kerajaan yang sedang bertungkus-lumus menangani Covid-19,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

Jelas beliau, meskipun Malaysia mengamalkan konsep demokrasi dan memelihara hak asasi manusia, namun sistem perlembagaan serta undang-undang perlu dipatuhi semua pihak.

“Memang benar rakyat berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat mereka dan menyertai sebarang himpunan aman.

“Tetapi pada masa yang sama hak ini perlulah dilaksanakan menurut undang-undang kerana negara kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap golongan.

“Tidak timbul soalan sama ada ‘flash mob’ yang dilakukan oleh penganjur protes #KeluardanLawan ini mengganggu orang awam atau tidak; merosakkan harta benda awam atau tidak; atau dilakukan di kawasan lapang yang terbuka atau tidak.

“Apa yang penting ialah ia mesti dibuat mengikut undang-undang, khususnya Peraturan 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang melarang perhimpunan begini.

“Begitu juga dengan aspek pemberian notis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras dengan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan huru-hara berlaku jika semua orang membuat perhimpunan begitu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengkritik tindakan aktivis tersebut yang disifatkan provokatif apabila mengibarkan bendera hitam dan membawa sepanduk serta lima patung menyerupai jenazah yang dikafan sambil mendakwa kerajaan sekarang adalah kerajaan yang gagal.

Katanya, senario ini tidak wajar dilakukan di saat semua pihak diseru Yang di-Pertuan Agong supaya fokus kepada usaha memerangi Covid-19 serta mengenepikan sentimen politik kepartian, termasuk perebutan kuasa demi kepentingan parti masing-masing.

Baru-baru ini sekumpulan anak muda menyertai protes #KeluardanLawan di Dataran Merdeka bagi menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan dalam menangani kes Covid-19.

Mereka juga membawa replika ‘mayat’ dan ’14 bendera hitam’ di samping mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur kerana mendakwa kerajaan PN gagal membendung pandemik Covid-19.

Himpunan ketika wabak sedang menular itu dikatakan dianjur NGO yang dinamakan Sekretariat Solidariti Rakyat dan Himpunan #Undi18Now.

Ekoran itu pihak polis mengenakan kompaun ke atas peserta protes tersebut dan mereka disiasat di bawah Akta Himpunan Aman 2012.

Mohd Ariff juga berkata, kumpulan terbabit cuba berpolitik dengan menggunakan isu kesusahan rakyat demi politik murahan mereka.

Walau bagaimanapun katanya beliau memuji usaha pihak kerajaan, wakil-wakil rakyat, NGO, pihak masjid, pihak berkuasa agama dan orang perseorangan yang terus membantu rakyat yang benar-benar terjejas dengan ikhlas hati.

Kata beliau sama ada yang mengibarkan bendera putih atau tidak, yang susah tetap menjadi keutamaan dan mesti dibantu.

“PAS di pelbagai peringkat juga sedang bertungkus lumus menggerakkan bantuan ke seluruh seluruh negeri.

“Kalau hendak dikira dalam aspek kewangan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah melaksanakan apa sahaja. Melalui lapan pakej sebanyak RM550 bilion telah diperuntukan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Covid 19.

“Cuba bayangkan kalau Pakatan Harapan (PH) masih menerajui negara dalam situasi sekarang, pasti mereka akan mencipta pelbagai alasan untuk memberi bantuan kepada rakyat sebagaimana yang mereka selalu cipta alasan sepanjang 22 bulan memerintah negara suatu ketika dahulu,” katanyai.

Beliau juga berkata, tindakan yang dilakukan sekumpulan anak muda terbabit tidak pelik dalam ruang lingkup demokrasi, namun ia tidak sesuai dianjurkan dalam suasana penularan wabak yang agak tinggi sekarang.

Oleh EVA NATASHA SADALI

Isu Semasa