Di Sebalik Hartal Doktor Kontrak

Di Sebalik Hartal Doktor Kontrak

Semalam berlaku satu peristiwa bersejarah dalam perkhidmatan kedoktoran di Malaysia, iaitu para doktor muda melakukan mogok atau hartal.

Di negara ini jarang sekali para doktor melakukan mogok kerana amalan ini selalunya melibatkan golongan buruh atau pekerja bawahan.

Sebelum ini kita biasa mendengar mogok pemandu teksi, mogok pekerja kilang dan seumpamanya.

Persoalan timbul mengapa doktor sudah mula melancarkan mogok?

Ada yang menjawab, kerjaya mereka sudah keluar dari zon selesa atau dengan pengertian lain belajar bidang perubatan bukan lagi jaminan pasti mendapat pekerjaan.

Selain daripada itu, ada juga yang menuduh pihak yang berkepentingan politik memperkudakan doktor muda ini untuk kepentingan mereka.

Saya ingin melihat isu sebenar di sebalik perkara yang sensasi ini.

Sebenarnya, bukan hanya kerjaya doktor yang menghadapi masalah ini, kerjaya-kerjaya yang lain dalam sektor awam juga menghadapi masalah yang sama.

Ramai penjawat awam dalam sektor-sektor yang lain sudah bertahun-tahun dalam status kontrak, malah ada yang lebih sedekad.

Yang lebih malang, ada penjawat-penjawat awam yang berstatus kontrak ini, antaranya yang sudah berkhidmat lebih dari 10 tahun ditamatkan perkhidmatan ketika PH mengambil alih Putrajaya selepas PRU ke-14.

Cuma pada waktu itu, tiada pihak yang mendorong mereka untuk melakukan mogok atau hartal seperti yang dilakukan oleh para doktor muda hari ini.

Hakikat sebenarnya, sektor perkhidmatan awam hari ini sedang berada di persimpangan dan sedang mencari halatuju baharu.

Sudah terdapat golongan politik yang bercakap sektor perkhidmatan awam ini adalah bebanan besar kepada perbelanjaan kerajaan.

Belanja mengurus dalam Bajet Tahunan semakin bertambah setiap tahun.

Semasa PH menguasai kerajaan, dengan dipengaruhi oleh pandangan DAP, mereka mahu mengurangkan bilangan penjawat-penjawat awam.

Sebelum menjadi kerajaan lagi DAP sudah bercakap tentang pengurangan bilangan penjawat awam.

Oleh sebab itu, PH sebelum ini telah menyasarkan bilangan penjawat awam berkurangan 5% setiap tahun antara 2019 sehingga 2021.

Sering diperkatakan, Skim Pencen dalam perkhidmatan awam telah meletakkan beban yang cukup besar kepada kerajaan berbanding dengan mereka yang memilih Skim KWSP.

Bagaimanapun, Skim Pencen inilah yang banyak menarik rakyat termasuk doktor untuk terlibat dengan perkhidmatan awam, malah ia adalah nikmat terbesar bagi penjawat-penjawat awam.

Dengan menyertai perkhidmatan awam (Skim Pencen) bermakna mempunyai pendapatan yang terjamin sehingga hari kematian, malah turut dinikmati oleh tanggungan.

Sememangnya aspek-aspek kebajikan yang diterima oleh pesara-pesara sektor perkhidmatan awam melalui Skim Pencen ini memerlukan kos yang besar dikeluarkan oleh kerajaan bagi setiap tahun.

Dengan sebab itu, kerajaan sebelum ini telah memulakan satu skim baru bagi Perkhidmatan Awam, iaitu Skim KWSP.

Mereka yang memilih Skim KWSP ini tetap diberi jawatan tetap dan memperolehi faedah-faedah bagi penjawat awam yang berjawatan tetap.

Terdapat desas-desus yang menyebut, Skim KWSP ini akan secara keseluruhannya menggantikan Skim Pencen.

Sebenarnya ada satu lagi skim yang ramai terlepas pandang, iaitu Skim Kontrak bagi penjawat awam.

Di beberapa buah negara, sektor perkhidmatan awam sudah berasaskan Skim Kontrak, tiada lagi seumpama Skim Pencen.

Sekiranya Skim Kontrak ini menjadi skim utama sektor perkhidmatan awam, diyakini akan berlaku penentangan besar, justeru BN sebelum ini, PH dan PN tidak berani.

Boleh jadi sudah ada nasihat-nasihat diberikan kepada kerajaan sama ada sebelum ini BN atau kemudiannya PH, supaya sektor perkhidmatan awam beralih kepada Skim Kontrak.

Ia dikatakan akan meningkatkan daya saing dan yang lebih penting menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Ia menuntut rakyat terutama ibu-bapa mengubah mentaliti, iaitu kerjaya di sektor perkhidmatan awam bukan lagi seperti dahulu.

Bagaimanapun, saya berpandangan, Skim Pencen ini perlu dikekalkan kerana inilah satu-satunya kelebihan yang dinikmati oleh para penjawat awam.

Pada masa yang sama boleh diperbaiki Skim Kontrak sebagai satu lagi pilihan untuk penjawat awam dengan faedah-faedah tersendiri.

Akhir sekali mentaliti rakyat perlu berubah sektor perkhidmatan awam bukan hanya Skim Pencen semata-mata.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki

AJK Kerja PAS Pusat

Isu Semasa