Dalam hantaran di laman Facebooknya yang bertarikh 5 Ogos 2021, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam tempuh beberapa minggu ini rakyat akan melihat sama ada tragedi ‘katak melompat’ berulang.
Menurut beliau lagi ini merupakan tragedi hitam yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
“Kena tahu bahawa “katak” bukan saja-saja melompat. Sama ada cari habuan atau mahu menyelamatkan diri,” kata Zahid.
4 hari selepas itu , Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada “katak” yang melompat masuk menyertai UMNO semula selepas meninggalkan parti Bersatu.
Pada 9 Ogos 2021 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meletak jawatan daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta merta untuk kembali ke pangkuan UMNO.
Beliau telah menyerahkan borang keahlian UMNO kepada YAB Menteri Besar Pahang Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar.