Beberapa fraksi dalam kerajaan Perikatan Nasional sedang mendapatkan persetujuan ahli-ahli Parlimen mereka bagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk meletak jawatan.
Dalam perjumpaan semalam di sebuah hotel di ibu negara, sebahagian ahli Parlimen UMNO mencadangkan nama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun tumpuan sekarang ialah untuk mendapatkan persetujuan majoriti ahli Parlimen dari Bersatu, Pas, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO kumpulan 15.
PM Muhyiddin Yassin dikatakan telah memberi lampu hijau kepada usaha ini bagi memastikan pentadbiran kerajaan semasa pandemik Covid-19 tidak terjejas. Bagaimanapun beberapa fraksi dalam Bersatu belum memberi kata putus.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan sedang menguruskan usaha menyatukan semua pihak bagi mengelakkan kemelut politik negara menjadi berpanjangan.
Sumber dalam Bersatu menyatakan, secara prinsip 100 Ahli parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional menerima pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Kini nasib Ismail Sabri terletak kepada 15 orang ahli Parlimen UMNO yang menarik diri dari menyokong Muhyiddin dua minggu lalu. Ismail memerlukan sekurang-kurangnya 11 orang lagi untuk mendapat majoriti mudah 111.
Mereka yang menarik sokongan sebelum ini ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Datuk Nizar Zakaria (Parit), Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ramli Mohd Nor (Cameron Highland), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong).
SUARATV