Tumpuan Dihalakan Kepada Siapa Menteri Kewangan Dan Peranan ‘Sensitif’ Berhubung 1MDB Menjelang Pengumuman Kabinet Hari Ini

Tumpuan Dihalakan Kepada Siapa Menteri Kewangan Dan Peranan ‘Sensitif’ Berhubung 1MDB Menjelang Pengumuman Kabinet Hari Ini

Tumpuan kini dihalakan kepada siapakah yang bakal memegang jawatan menteri kewangan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, menjelang pengumuman barisan Kabinet yang dipilih beliau hari ini selepas beberapa siri perbincangan peribadi bersama sekutu rapat termasuk Muhyiddin Yassin, MalaysiaNow difahamkan.

Satu sumber dekat dengan beberapa perbincangan tersebut berkata “perkara paling memeningkan” Ismail ialah jawatan yang besar menteri kewangan, mengatakan wujud tekanan dari Umno untuk portfolio tersebut yang menjadi punca utama kejatuhan parti itu pada 2018.

“Ia adalah jawatan sama yang menyebabkan menteri kewangan terakhir dari Umno dapat masalah,” kata sumber tersebut yang rapat dengan pemimpin kanan dalam Umno dan Bersatu, merujuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib, sebelum ini memegang jawatan menteri kewangan sekali gus bertanggungjawab terhadap 1MDB, ketika ini berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah melibatkan bilion ringgit dana yang dicuri dari syarikat kelolaan negara itu.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin, jawatan menteri kewangan dipegang Tengku Zafrul Aziz.

Beliau dikenali sebagai individu bukan ahli politik dan sebelumnya menjawat pelbagai jawatan perbankan, dikatakan akan menjadi kompromi dalam menyeimbangkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Umno yang rapat dengan Najib ketika beliau masih dilihat menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Namun sebagai menteri kewangan yang bertanggungjawab dalam usaha mendapatkan semula ratusan juta dana yang dicuri dari 1MDB, tidak dapat dielak, Zafrul jadi sasaran sekutu-sekutu Najib dalam Umno,” kata sumber tersebut.

Ekonomi