Beberapa Ahli Parlimen (MP) blok pembangkang meluahkan rasa tidak puas hati selepas nama bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asraf Wajdi Dusuki tiada dalam senarai barisan Kabinet yang baharu diumumkan.
Dua pemimpin UMNO tersebut, Azalina dan Asraf pada awalnya dijangka akan dilantik dalam Kabinet namun nama kedua-duanya tercicir dalam senarai pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumum hari ini.
MP DAP Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan mengapa Azalina tidak dilantik dalam Kabinet dan mendesak supaya beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Azhar Harun.
“Kanak-kanak tidak mempunyai wakil yang boleh dipercayai dan macam mana Azalina boleh dikecualikan?
“Sekarang saya mahu Ismail Sabri lantik Azalina jadi Speaker Dewan Rakyat untuk semak dan imbang,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Sementara itu, MP Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sepatutnya melantik Asraf dalam barisan Kabinetnya yang dilihat lebih berkelayakan dan bukan dengan mengekalkan muka lama.
“Mengapa lantik lagi menteri yang jelas tidak mempunyai prestasi yang baik? Mengapa pemimpin yang ada rekod buruk masih lagi jadi sebahagian dari Kerajaan ini?
“Jadi kerajaan gagal sebelum ini hanya mengambil cuti lebih kurang duan minggu sebelum kembali masuk bertugas,” katanya lapor portal.
Ismail Sabri hari ini mengumumkan barisan kerajaannya dengan mengekalkan jumlah 31 kementerian merangkumi 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri dengan keseluruhan berjumlah 70 orang termasuk Perdana Menteri.
Selain itu, terdapat kementerian masih kekal mempunyai dua Timbalan Menteri antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.