Abdul Karim CEO SATU Baharu

Abdul Karim CEO SATU Baharu

Ketua Perkhidmatan Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor),  Abdul Karim Endut, 51, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Satu dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Ir. Atemin Sulong yang menamatkan perkhidmatan pada 24 Julai lalu.

Katanya, Abdul Karim mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam pengurusan operasi perkhidmatan air; teknikal dan penyelenggaran air di samping pengagihan seta pengurusan loji rawatan.

Menurutnya, lulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan (Chemistry-Polymer) dari Universiti Henri Poincare, Perancis itu juga berkhidmat di beberapa syarikat korporat termasuk Konsortium Air Selangor di bawah KDEB Group, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dan ONDEO Services(M), SUEZ Group.

“Terdahulu, sebagai Ketua Perkhidmatan Operasi di Air Selangor, beliau mengawal selia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan aset,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin Abdul Karim  mampu menerajui Satu ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik sekali gus menjadikannya sebuah syarikat korporat terbaik di Terengganu. 

Terengganu