Orang Ramai Nak Rentas Negara Tak Perlu Guna My-TravelPass Lagi: PM

Orang Ramai Nak Rentas Negara Tak Perlu Guna My-TravelPass Lagi: PM

Permohonan My­TravelPass (MTP) tidak diperlukan lagi apabila melakukan perjalanan rentas negara diberikan nanti yang dijangka dibenarkan pada Disember ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri (PM) berkata tidak menolak tarikh pembukaan sempadan mungkin berlaku lebih awal, bersama dengan perjalanan antara negeri ia memandangkan kadar vaksinasi negara sudah hampir mencecah 90 peratus.

“Ya, Disember. Mungkin awal lagi. Kita akan buka rentas negeri. Rentas negara pun boleh dibuka apabila mencapai 90 peratus sudah divaksin.

“Rentas negeri pun tidak lama lagi sebab sekarang dah mencapai 85.5 peratus, bermakna lagi dua minggu sudah boleh buka rentas negeri,” katanya dipetik dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.

Jelasnya, orang ramai tidak lagi perlu memohon MTP sebaik sahaja pembukaan kegiatan merentas negara bagaimanapun perlu menjalani tempoh kuarantin yang sama.

“Kita tidak perlu lagi daftar MyTravelPass untuk keluar negara tetapi kuarantin masih sama,” katanya.

Kelonggaran syarat itu sebelum ini didesak oleh pemimpin blok pembangkang khususnya DAP yang mahu permohonan MTP itu dimansuhkan dengan serta-merta.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mendedahkan kerajaan juga sedang dalam perbincangan dengan kerajaan Singapura untuk membenarkan kemasukan pekerja harian dari Johor yang akan meneruskan rutin harian mereka.

“Kita meneruskan perbincangan sebab kita ada dua, Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) ini Singapura yang hentikan, bukan kita. Saya pun sudah pergi ke Johor minggu lepas, saya dah minta Menteri Besar Johor berbincang dengan Si­ngapura untuk RGL dibuka.

“Tetapi, yang lebih pen­ting perjalanan harian pekerja, beratus ribu orang. Masih lagi Si­ngapura belum buka. Ini penting sebab ada yang ulang alik dari Johor Bahru, tiba-tiba tidak dibenarkan masuk. Mereka yang menderita ini sudah setahun lebih,” katanya lagi.

Malaysia telah melonggarkan sekatan perjalanan antara negeri untuk pelancongan domestik ke lokasi tertentu, bermula dengan Langkawi sebagai inisiatif perintis.

Pelancongan