Jika UMNO masih berkeras dengan pendirian yang menolak penyatuan khususnya dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti, ia hanya akan menguntungkan pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH).
Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin itu berkata parti tersebut perlu menilai dan meneliti dengan melihat siapa musuh sebenar mereka kerana sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru ia hanya akan menguntungkan blok pembangkang yang majoritinya dikuasai bukan Islam.
“(UMNO perlu) kaji balik siapa musuh sebenar dan siapa kawan. Jangan terus menolak penyatuan ini kerana hanya memberi kelebihan kepada musuh.
“Kita akan menghadapi kesukaran di dalam PRU15 jika perpaduan ini ditolak. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru yang untung bukan Islam tetapi pihak lawan. PH akan untung jika kita berpecah,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Beliau juga menggesa supaya pemimpin UMNO mengenang kembali kesukaran mewujudkan gabungan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan dua parti itu.
Baru-baru ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengumumkan mereka akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada PRU-14 lalu.
Anak murid Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga berkata tidak akan berkompromi pembahagian kerusi dengan PN, malah menyatakan keyakinan akan menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi parti itu.
Zahid juga berkata Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya berbentuk sementara sahaja dan akan bertukar apabila UMNO kembali menjadi dominan nanti di Putrajaya.