Apa Ada Dalam Hati Perut ‘Anak Murid’?

Apa Ada Dalam Hati Perut ‘Anak Murid’?

Apa benda yang berselirat di dalam hati perut ‘anak murid’ sebenarnya?

Nampaknya ‘anak murid’ nekad menolak BERSATU.

PAS juga sudah semacam tidak penting baginya.

Gurunyakah meniupkan ilham supaya UMNO/BN bergerak secara solo?

Gurunyakah yang berbisik agar PAS dan Muafakat Nasional dijauhi?

Seorang guru tentu mudah membaca arus yang dibawa oleh Muafakat Nasional.

Apalagi sekiranya BERSATU disepakati untuk duduk bersama.

Maka hendak tak hendak, anak murid mesti dirasuk dan diperguna.

Maka didendangkanlah PAS bermain dua kolam.

Menjadi asbab dan justifikasi mengapa PAS perlu ditinggalkan.

Bijak cikgu kita.

Hinggakan orang terlupa PAS sentiasa menyeru ummah ini agar berada dalam satu kolam.

Siapakah yang jadi penghalang?

Dalam kepala anak murid, hanya ada dua pihak yang boleh jadi pemenang; sama ada BN atau PH.

‘No way’ bagi PN; berkontradiksi dengan terminologi ‘No Anwar, No DAP’.

Walaupun PN yang menjadi teras kuasanya adalah parti-parti Melayu, BERSATU dan PAS, namun tiada untung untuk anak murid yang berkelana di kandang mahkamah.

Tetapi kalau BN menang secara mutlak, anak murid akan mendapat oksigen baru.

Dan sekiranya PH yang menang, takkan ‘Cikgu’ nak membiarkan anak murid yang selalu mengucapkan ‘terima kasih Cikgu’.

Justeru, buat masa sekarang nasib agama dan bangsa tidak lagi penting.

Nasib badanlah yang perlu diselamatkan dulu.

Jadi, apa peduli dengan pertandingan 3 penjuru.

Perkiraannya, kalau tidak BN, yang diharapkan jadi pemenang ialah PH, pakatan milik Cikgu.

Kalau ujikaji ini berjaya di bumi Melaka, UMNO/BN tidak perlu lagi was-was untuk terus solo menghadapi PRU.

Andai BN dan PN bergabung, besar kemungkinan kolaborasi ini menatijahkan kemenangan majoriti 2/3.

Majoriti ini amat besar impaknya dalam survival bangsa.

Bukan sahaja gabungan ini dapat memerintah dengan kuasa yang kukuh, malah beberapa perkara penting dapat dilakukan untuk mengembalikan kedaulatan agama dan ketuanan bangsa.

Namun ‘anak murid’ tidak pedulikan itu semua.

Itulah isi hati perut yang rakyat dapat baca.

Beruntunglah ‘anak murid’ kerana masih di kerusi Presiden.

Presiden boleh menggunakan kuasa prerogatif yang sukar dipertikaikan.

Presiden boleh memberi ultimatum.

Presiden adalah nakhoda yang menentukan halatuju kapal.

Isi hati perut dilihat melalui arah mana kapal itu dilencongkan.

Kata orang, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Bagi rakyat, rahsia anak murid sudah pecah di perut dan sudah pecah di mulut.

Akhir kalam, ingatlah akan peribahasa tinggalan orang tua-tua; ‘jangan mendukung biawak hidup’.

Kalau biawak pun tak patut didukung, apalagi biawak komodo.

Rupa-rupanya dalam bangsa ini, masih ada yang sudi menanggung.

BayangDiAir,

Kolumnis