Noh Pecat Ahli Bersatu Pegang Jawatan Agensi Bawah Kementeriannya

Noh Pecat Ahli Bersatu Pegang Jawatan Agensi Bawah Kementeriannya

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar didakwa memecat semua ahli Bersatu yang memegang jawatan dalam agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) yang diterajuinya.

Menteri MEDAC itu menamatkan perkhidmatan beberapa lantikan dari kalangan pemimpin Bersatu di dalam agensi-agensi bawah kementerian itu seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Yayasan Bank Rakyat.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Bersatu Bahagian Puchong, Ts. Shaik Shaszari Shaik Sulaiman dalam satu kenyataan yang membidas tindakan Noh itu cuba mengugat keharmonian dalam kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya turut mempersoalkan adakah langkah ini diambil bagi digantikan dengan lain-lain pemimpin UMNO?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah yang diambil oleh pemimpin UMNO Selangor itu menurut Shaik Shaszari juga dibuat secara tergopoh-gapah walaupun kontrak lantikan masih belum tamat, malah langkah itu secara tidak langsung akan memecahbelahkan keharmonian yang dibina antara Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin dan Ismail Sabri dalam kerajaan pusat.

“Saya secara peribadi mempersoalkan rasional yang diambil dalam masa sama kementerian-kementerian termasuk MEDAC sedang mencapai KPI 100 hari dan saya percaya ahli-ahli Lembaga Pengarah tersebut sedang bersama-sama dalam agensi-agensi bawah MEDAC untuk membantu pihak menteri dalam mencapai KPI 100 hari dan seterusnya.

“Namun sebaliknya tindakan ini secara tidak langsung makin memecahkan keharmonian yang sedang dibina antara Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Parti UMNO antaranya Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri,” katanya lagi.

Beliau turut memberi senarai pemimpin Bersatu yang ditamatkan kontrak lebih awal, antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman selaku Ahli Lembaga Pengarah SKM yang sepatutnya tamat kontrak pada Disember 2022, Ahli Lembaga Amanah TEKUN ialah Puan Najwah Halimah (Timbalan Pengerusi Tekun Nasional), Puan Mizmah Appehdullah (Exco Srikandi Pusat Bersatu), Datuk Wan Shaharir bin Wan Jalil (mantan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang) serta beberapa pemimpin lain lagi.

Untuk rekod, Noh merupakan salah seorang ahli kumpulan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan setia bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri pada saat akhir bertindak melantik Noh dalam Kabinetnya selepas mengangkat sumpah sebagai PM baharu.

Isu Semasa