Ada Asyraf Wajdi kisah?
KWSP telah mendedahkan pengeluaran luar biasa menerusi skim i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra, telah menyebabkan 73 peratus atau hampir tiga perempat ahli berada dalam situasi serius, di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara, melebihi paras kemiskinan.
Walaupun pengeluaran tersebut telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.
Daripada jumlah itu, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.
Menurut KWSP, lebih membimbangkan ialah ahli Bumiputera apabila 78 peratus, atau lebih tiga perempat ahli telah memohon untuk fasiliti pengeluaran tersebut.
Akibatnya, seramai 4.4 juta, atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta, atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000, dalam akaun KWSP mereka.
Ada Pemuda UMNO kisah?
Namun malangnya, Pemuda UMNO diketuai Asyraf Wajdi telah membuat perkiraan salah mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 secara one-off.
Asyraf dan kepimpinan tertinggi Pemuda yang rata-rata berkelulusan hebat, sekurang-kurangnya dari universiti di luar negara, gagal membuat pertimbangan dan penyelidikan apabila memberi alasan keperluan pencarum untuk mengeluarkan RM10,000 secara one-off itu.
Asyraf Wajdi dan Pemuda sebelum ini begitu yakin, kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menerima cadangan mereka.
Sehinggakan beliau sendiri memberi bayangan lebih awal bahawa tuntutan i-Citra one-off bakal dilaksanakan.
“Malam kelmarin, selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, sempat ‘follow-up’ beberapa isu utama untuk diberikan perhatian Perdana Menteri, antaranya tuntutan rakyat mengenai KWSP i-Citra RM10,000 secara ‘one-off’…,” kata Asyraf memuat naik status dalam Facebooknya pada 1 Oktober lalu yang disertakan gambarnya berjalan beriringan dengan Ismail Sabri selepas mesyuarat itu.
Namun, Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz langsung tidak menyebut mengenai i-Citra one-off dalam ucapan Bajet 2022.
Terkedu Asyraf Wajdi dan Pemuda UMNO.
Menjangkakan netizen akan menyerang mereka, alasan mula dicari, kenyataan mula dibuat seolah-olah kerajaan yang salah kerana menghampakan harapan jutaan ahli KWSP, sedangkan merekalah yang beria-ia menjanjikannya.
Namun bagi meredakan kemarahan orang ramai terhadap mereka, Asyraf Wajdi berkata Pemuda UMNO tidak akan ‘melepas tangan’ berhubung i-Citra one-off itu.
Masih lagi ingin membuat desakan supaya insentif berkenaan diluluskan dalam bajet tambahan pada masa depan.
Malangnya, kenyataan KWSP semalam yang memberikan butiran lengkap situasi simpanan ahli ketika pandemik Covid-19 telah membuka mata banyak pihak bahawa tuntutan yang dibuat itu jelas membuktikan ketidakprihatinan Pemuda UMNO terhadap masa depan pencarum KWSP khususnya bangsa Melayu.
Bayangkan jika desakan Pemuda UMNO diterima.
Tentu berebut-rebut pencarum, terutama Melayu akan membuat permohonan pengeluaran berkenaan.
Ini sekali gus akan mengurangkan lagi baki akaun wang persaraan mereka.
Mungkin yang berbaki RM10,000 dalam akaun tidak dibenar mengeluarkan wang itu secara one-off, tetapi mereka yang mempunyai simpanan lebih tinggi akan dibenarkan berbuat demikian sebagaimana diminta Pemuda UMNO.
Apabila pengeluaran dibuat, simpanan pun berkurangan dan pastinya, bilangan pencarum yang memiliki simpanan di bawah RM10,000 atau RM1,000 akan meningkat.
Usaha Pemuda UMNO untuk membolehkan RM10,000 one-off dikeluarkan hanya untuk mengembirakan sekejap sahaja pencarum – pemikiran yang singkat – sebaliknya mereka tidak memandang masa depan selepas persaraan itu.
Memang sepatutnyalah kerajaan menolak cadangan dan desakan Asyraf Wajdi dan Pemuda UMNO, kerana apa yang diminta itu sebenarnya akan membunuh ahli KWSP selepas persaraan kelak.
Tapi, ada Asyraf Wajdi dan Pemuda UMNO kisah?