Pakar Ekonomi Setuju Tuntutan i-Citra One-Off Pemuda UMNO Ditolak

Pakar Ekonomi Setuju Tuntutan i-Citra One-Off Pemuda UMNO Ditolak

Keputusan kerajaan, khususnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menolak tuntutan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off bertujuan memberi pendidikan kepada orang ramai supaya berhati-hati menggunakan wang tersebut.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan itu bukan menunjukkan kerajaan tidak mampu, tetapi lebih kepada memastikan keperluan semasa dan jangka panjang adalah seimbang

Katanya, menurut kajian KWSP, seseorang perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam akaun KWSP untuk bersara berdasarkan faktor umur rakyat Malaysia yang semakin lama semakin panjang dan memerlukan perbelanjaan untuk hari tua.

“Oleh kerana itu, saya rasa ada kekangannya. Pihak KWSP cuba memberikan pendidikan kepada rakyat supaya berhati-hati menggunakan wang tersebut,” katanya memberi penjelasan pada sesi perbincangan Forum Pasca Bajet 2022 secara dalam talian hari ini.

Forum tahunan itu dianjurkan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (SEFB), bertujuan mengupas bajet yang dibentangkan oleh kerajaan setiap tahun.

Beliau berkata beberapa pendedahan yang dibuat oleh KWSP sebelum ini menunjukkan dengan jelas kebanyakan rakyat, khususnya ahli KWSP tidak mempunyai wang persaraan yang mencukupi selepas bersara.

“Isunya bukan kerajaan tidak mampu tetapi lebih kepada berhati-hati kerana apa yang dikongsi oleh pihak KWSP adalah kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaun KWSP mereka.

“Boleh, mahu keluarkan semua (wang), tetapi perlu diingat apabila seseorang itu bersara kemudian hari, bagaimana jika wang itu tidak mencukupi untuk kos sara hidup, siapa pula hendak menanggung… kemampuan ketika itu juga kita tidak pasti,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO membuat desakan tanpa henti, kononnya ‘tuntutan rakyat’, supaya kerajaan membenarkan ahli KWSP membuat pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 secara one-off.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat adalah pengeluaran simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off.

Namun, pengeluaran sedemikian tidak disentuh langsung oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Jumaat minggu lalu.

Ekonomi