Ketua Pemuda PAS Menempelak Ketua Pemuda Umno

Ketua Pemuda PAS Menempelak Ketua Pemuda Umno

YB Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari menempelak Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dasuki yang membuat kenyataan hanya berpandukan kepada akhbar tanpa merujuk kenyataan sebenar.

Dalam satu hantaran melalui Facebooknya Asyraf berkata:

“Jika PAS terima pelawaan UMNO tempoh hari, sudah tentu PAS akan punya wakil di 3 DUN dengan mudah termasuk DUN Bukit Katil yang sejak dari awal ditawarkan UMNO bagi mengalahkan musuh tradisi mereka PAN.

“Patutnya tidak perlulah bernada angkuh nak gugat kubu kuat BN atau tidak. Lagipun bukankah PAS berulang kali sebut nak lawan DAP-PH? Kenyataan sebegini buat kita jadi keliru, musuh PAS ni siapa sebenarnya?”

Kenyataan Asraf dibuat berpandukan kepada tulisan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Hantaran Asraf boleh dibaca di: https://www.facebook.com/photo?fbid=441951230634930&set=a.405662404263813

Menurut Ustaz Ahmad Fadhli tidak ada pun dalam kenyataannya yang PAS mahu gugat kubu BN.

Beliau meminta Asraf baca betul-betul tulisan asalnya sebelum membuat sebarang komen.

“Anda kan Ketua Pergerakan Pemuda. Belajar cari kenyataan asal, copy paste ke dalam Microsoft Word, gunakan kekunci Ctrl+F dan cari perkataan ‘gugat’.

Tambah Ahmad Fadhli lagi, yang anda akan jumpa ialah “Sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal, dan parti lain akan terus tersungkur”

“Takkanlah nak buat kerja senang macam tu pun tak boleh. Yang sebut perkataan ‘gugat’ itu ialah Utusan. Buat kerja rumah sikit ye, jaga taraf kita tu.

“Ops maaf, dua kali bertanding pilihanraya dua kali kalah, what do you expect,” kata Ahmad Fadhli memjawab dalam laman Facebook Asraf.

Kenyataan asal saya Ustaz Ahmad Fadhli boleh di baca di bawah ini atau melalui laman Dewan Pemuda PAS Malaysia di : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=438667100961147&id=100044535815156

*******************************************************

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

MELAKA MEMILIH: MESEJ JELAS UNTUK SEMUA PARTI POLITIK

21 November 2021 | 16 Rabiulakhir 1443 H

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik perkembangan positif dalam keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Keputusan tersebut membawa berbagai mesej yang harus diambil cakna oleh semua pihak.

Melalui keputusan ini, PAS dan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan sebagai pasukan yang dilihat ‘underdog’.

Walaupun telahan awal menjangkakan PN akan ‘bungkus’ di semua kerusi, ternyata PN berjaya merampas 2 kerusi DUN yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu.

PAS juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.

Ini merupakan petanda awal kemampuan PAS dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti.

Keputusan PRN juga menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat Melaka kepada Pakatan Harapan (PH), apabila mereka tewas hampir semua kerusi yang pernah dimenangi kecuali di kawasan majoriti bukan Melayu yang ditandingi DAP, dan di Bukit Katil.

Ini petanda jelas penolakan rakyat terhadap politik fitnah, kebencian dan sentimen yang disemai PH, serta ketidakpercayaan rakyat terhadap janji-janji palsu mereka.

Ternyata parti-parti komponen PH tidak ada nilai, selain bergantung harap pada DAP.

Kempen-kempen DAP yang memburukkan PAS dan PN dengan isu polisi judi dan arak di negeri Kedah yang majoritinya Melayu Islam, digunakan untuk menakutkan pengundi bukan Melayu sehingga mereka berjaya memperoleh undi.

Namun kesannya, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara ditolak majoriti masyarakat Melayu di kerusi ditandingi mereka.

Sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal, dan parti lain akan terus tersungkur.

Pemuda PAS merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih buat semua jentera PAS dan PN yang bertungkus-lumus menjunjung keputusan pimpinan parti, berkhidmat dan mewakafkan diri di medan juang tanpa sebarang ganjaran.

Sekalung tahniah diucapkan kepada BN atas kejayaan menubuhkan kerajaan dengan mandat majoriti rakyat.

Semoga negeri Melaka akan terus maju dan stabil, bebas dari penyelewangan dan dilindungi dari sebarang konflik yang memberi mudarat buat negeri ini dan negara Malaysia yang tercinta.

YB Ahmad Fadhli Shaari,

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia,

Ahli Parlimen Pasir Mas.

Isu Semasa