Muafakat Nasional Muafakat Ummah

Muafakat Nasional Muafakat Ummah

Tanpa mengurangi rasa hormat saya kepada Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad bin Hassan, saya kira kenyataan YB Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS perlu didengar dari sumbernya yang asal.

Merujuk kepada pautan-pautan berita pihak ketiga tidak semestinya menggambarkan konteks sebenar kenyataan itu dikeluarkan.

Kenyataan Presiden PAS yang dikeluarkan di dalam sidang media yang dirujuk oleh Timbalan Presiden UMNO itu langsung tidak bernada menolak Muafakat Nasional seperti yang ditulis oleh media.

Bahkan ia lebih kepada mengajak UMNO untuk kembali duduk semeja berbincang bagaimana untuk memperkasakan Muafakat Nasional.

Secara logiknya, jika hanya PAS dan UMNO sahaja dalam Muafakat Nasional, sudah tentu kek yang akan ‘dinikmati’ oleh PAS lebih besar berbanding dengan menerima satu lagi tetamu bernama PPBM.

Namun, itu bukan matlamat PAS.

Matlamat PAS ialah untuk memperkuatkan muafakat ummah ini dengan memperluaskan lagi keanggotaan di dalam Muafakat Nasional.

Jika ditinjau dari sudut kronologi, UMNO dan PAS kedua-duanya telah bersepakat untuk menjemput PPBM ke dalam Muafakat Nasional.

Timbalan Presiden UMNO berhujah, “salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang PH. PPBM adalah komponen PH waktu itu..”

Ya benar, namun tidakkah kita lupa bahawa PPBM inilah yang akhirnya meninggalkan PH dan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang sama-sama kita tubuhkan pada Februari 2020.

Jika luka kerana PPBM menjadi sebahagian dari PH itu sangatlah besar untuk dilupakan, kenapakah UMNO sanggup menjadi sebahagian dari kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyidin Yasin ketika itu?

Kemudian, Dato Sri Utama menulis lagi, “Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR, Amanah, PUTRA ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan. Jujurnya kerana UMNO TIDAK MAHU MENYINGGUNG PAS.”

Sebenarnya, tiada sebarang masalah untuk mengajak parti-parti yang disebutkan tadi untuk bersama Muafakat Nasional.

Asal saja mereka sudi memutuskan hubungan dengan DAP yang dilihat menjadi tulang belakang sebenar di dalam Pakatan Harapan.

Soalnya, sanggupkah mereka?

Tidak ada sesiapa pun di dalam PAS akan tersinggung jika pihak-pihak ini tiba-tiba memohon untuk menyertai Muafakat Nasional apabila mereka bermufarakah dengan DAP.

Jika masing-masing membelek kronologi demi kronologi, sampai bilapun kita tidak akan bersepakat.

Hakikatnya, UMNO perlu belajar menerima PPBM dan tentu sekali, PPBM juga perlu belajar untuk menerima UMNO.

Jika tidak, muafakat ummah seperti yang diangkat oleh Tan Sri Presiden PAS itu tidak akan berjaya.

Yakinkah UMNO berdasarkan perkembangan di Melaka, jika ia diaplikasikan ke seluruh negara, dapat menang besar sebagaimana di Melaka?

Bagaimana jika di dalam pilihanraya umum nanti, pengundi bukan Melayu keluar beramai-ramai sehingga menjadikan ‘turn out’ mencapai 75% misalnya, bolehkah UMNO dan Barisan Nasional menang jika berlaku pula pertembungan tiga penjuru?

Dengan perkembangan di Melaka di mana undi PAS atas nama Perikatan Nasional bertambah dengan ketara berbanding PRU yang lepas, di atas kertas, atas nama Perikatan Nasional barangkali PAS boleh menambah kerusi melebihi 18 buah kerusi parlimen yang dimenangi pada tahun 2018, namun berjayakah Perikatan Nasional untuk menang sebagai sebuah kerajaan tanpa sokongan UMNO dan Barisan Nasional?

Jawapan terhadap soalan ini, boleh diteka dengan mudah.

Hakikatnya, tiada jalan keluar melainkan muafakat.

Jika tidak ingin Pakatan Harapan berkuasa kembali, hanya muafakat sebagai jalan keluar.

Atau kita perlukan satu lagi pengajaran di dalam PRU15 barulah kita sedar kepentingan muafakat.

Ini bukan jawapan terhadap Dato’ Seri Utama Mohamad bin Hassan, ini hanya menjelaskan pendirian PAS dan ketegasan YB Tan Sri Dato Seri Presiden PAS.

Dan sekali lagi, ia tidak mengurangi rasa hormat saya kepada Dato’ Seri Utama Timbalan Presiden UMNO.

Ahmad Fadhli bin Shaari

Isu Semasa