Apa Yang Tan Sri Dok Cakap Ni?

Apa Yang Tan Sri Dok Cakap Ni?

Masih lagi Bahasa Melayu.

Apa yang Tan Sri dok cakap ni sebenarnya seolah-olah kami orang Melayu sebelum datangnya perkataan-perkataan pinjaman ini ke dalam Bahasa kami, dek kerana pertembungan tamadun, kami adalah satu bangsa barbaric yang nak bercakap dan bertutur pun tidak mampu!

Bahasa Melayu bukanlah bahasa banjingan ciptaan sesiapa, tetapi merupakan bahasa yang wujud dalam keluarga Austronesia.

Keluarga terdekat kami seperti Bahasa Jawa, Bahasa Maori, Bahasa Samoa dan bahasa-bahasa lain dalam keluarga besar ini.

Bahasa kami memiliki sejarah yang panjang.

Berdasarkan sejarah, nenek moyang kepada bahasa kami iaitu Proto-Melayu mula dituturkan sejak sekurang-kurangnya 1000 SM di Borneo, hasil daripada pecahan bahasa Proto-Malayo-Polynesian yang bercambah daripada Bahasa Proto-Austronesia kira-kira 2000 SM yang lalu hasil migrasi orang-orang Austronesia dari Taiwan ke Asia Tenggara.

Daripada Proto-Melayu ini, evolusi Bahasa Melayu bercambah ke Bahasa Melayu Kuno yang dapat dijejak pada prasasti-prasasti Empayar Melayu Srivijaya di Sumatera dan Pulau Jawa.

Paling awal ialah Prasasti Kedukan Bukit, bertarikh kira-kira 683 Masihi.

Apabila bahasa Proto-Melayu menerima pengaruh Bahasa Sanskrit hasil proses Indianinisasi, maka wujudnya Bahasa Melayu Kuno.

Daripada Bahasa Melayu Kuno, ada dua pendapat.

Ada yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Klasik ialah adik-beradik yang bercabang daripada Proto-Melayu, bukannya Bahasa Melayu Klasik datang daripada Bahasa Melayu Kuno.

Pendapat lain mengatakan pula bahawa Bahasa Melayu Klasik yang dituturkan pada zaman Melaka datang daripada evolusi Bahasa Melayu Kuno yang menerima pengaruh daripada Arab dan Parsi, sekaligus menjadikan Bahasa Melayu Klasik yang akan berevolusi menjadi Bahasa Melayu Moden hari ini.

Rekod terawal Bahasa Melayu Klasik ini dapat dilihat pada penemuan Batu Bersurat Terengganu, yang dapat dijejak usianya seawal 1303 Masihi.

Apa-apa pun, sejarah ringkas saya nukilkan di atas adalah bukti hidup betapa sebenarnya Bahasa Melayu yang saya banggakan ini bukan kecil anak.

Ini ialah bahasa yang ada keluarga bahasanya, ada sejarah panjangnya, dan tak akan mati atau tak mampu dituturkan sekalipun kalau dibuang semua kata-kata bahasa pinjaman yang wujud hari ini.

Dan untuk pengetahuan Tan Sri, gelaran yang saya dimaklumkan adalah palsu dan dibeli, sekarang ada gerakan untuk memurnikan Bahasa Melayu yang dipanggil sebagai Beka Melayu.

Gerakan membersihkan Bahasa Melayu daripada kata pinjaman.

Masih lagi mampu ayat penuh ditulis, dituturkan walau tanpa kata pinjaman.

Hanya perlu ambil daripada kosa-kosa kata yang wujud dalam bahasa adik-beradik Melayu dalam keluarga Austronesia atau juga, dah tentu, kosa-kosa kata Melayu lama yang dah dilupakan dan tak dituturkan.

Semudah itu sahaja.

Jadi, dakwaan Tan Sri adalah semata-mata serangan pseudo ke atas Bahasa Melayu semata-mata.

The Patriots 2.0

Isu Semasa