Langgar Janji, Jahiliyyahpun Tahu Malu

Langgar Janji, Jahiliyyahpun Tahu Malu

Pertikaian mengenai Muafakat Nasional, adakah patut disertai oleh Bersatu atau tidak, semakin galak dimainkan oleh Umno.

Bukan jawatan serendah ‘cybertroopers’ yang memalu gendang, tetapi jawatan kedua tertinggi dalam Umnolah yang sedang mencanangkan betapa kononnya PAS tidak menghormati Umno dengan mengajak Bersatu masuk bersama.

Seperti biasa, apabila PAS melakukan gerakan, akan ada pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Sedangkan PAS sentiasa melihat kepada gambaran yang lebih luas, iaitu kesatuan ummah, bukan kesenangan peribadi.

Sudah banyak kali diulangi, jika PAS mahukan jawatan, PAS tidak keluar dari BN dahulu, kerana BN berkuasa penuh di pusat.

Tetapi PAS keluar juga selepas PAS tidak tunduk kepada Umno.

PAS sebelum 2018, beberapa kali diajak bersama Umno yang mana ketika itu mereka masih mempunyai kuasa penuh sebagai kerajaan.

Tetapi PAS membuktikan PAS tidak gila kuasa kerana Umno tidak menggunakan kuasa dengan baik bagi kepentingan Islam.

Betapa ramai orang PAS yang tidak diberikan keadilan dalam pemerintahannya.

Tetapi apabila pimpinan PAS membawa agenda perpaduan dengan Umno kerana Islam, ahli PAS yang dianiaya dahulu patuh.

Jika PAS gilakan kuasa, sepatutnya pada PRU14, PAS sudah bersama bergandingan tangan dengan PH yang menang dalam PRU.

Namun PH lebih teruk dari Umno.

Dan PAS, tanpa ragu memilih Umno untuk bersama menentang PH yang mana Umno ketika itu adalah parti hina kerana kalah PRU.

Bagaimana pimpinan mereka dimalukan oleh PH, juga masih kita ingati.

Jadi berhentilah menjadi gila dengan mengatakan bahawa PAS gilakan kuasa atau takut menjadi pembangkang kembali.

PAS melihat apa yang sepatutnya agama sarankan dan PAS mahu laksanakan.

Lihat sahaja judi yang dibenci bukan sahaja orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam, telah PAS hapuskan dengan kuasa yang ada di negeri-negeri PAS kuasai.

Apa yang kita mampu, kita buat.

Menang kita lawan, kalahpun PAS tak undur.

Oleh itu kenyataan Tok Mat mengenai betapa PAS telah melanggar piagam MN kerana mengajak Bersatu bersama, hanyalah menzahirkan kedangkalan diri sendiri apabila surat jemputan ditandatangani sendiri oleh Presiden Umno dan PAS, jelas menceritakan kisah sebaliknya iaitu Umno juga menjemput Bersatu masuk MN.

Serendah itukah harga diri ahli Umno untuk bersetuju dengan kenyataan bohong ketua mereka terhadap Presiden PAS?

Atau semurah nilai diri Ketua Pemuda Umno yang menuduh Ketua Pemuda PAS tempohari?

Lebih memalukan, komen dibuat tidak berdasarkan konteks sebenar kenyataan Presiden PAS.

Sepatutnya Umno mencari jalan kenapa harga barangan masih melonjak naik walaupun mereka sudah kembali memegang kuasa negara.

Apa tindakan Umno yang lebih berpengalaman dalam isu ini?

Malah menjadi beban kepada keseluruhan kabinet untuk menjawab isu sebegini.

Apatah lagi dengan mereka sibuk menyerang sesama sendiri.

Konon tidak mahu Bersatu, tetapi sehingga kini, masih bertarik selimut masing-masing tidur di atas katil dan bantal yang sama.

Sedarkah Umno siapa rakan mereka dalam kabinet sekarang?

Janji adalah satu perkara yang tidak boleh kita mungkiri.

Ingatkah kita dengan kisah Abu Sufyan yang bersegera ke Madinah setelah ada kabilah yang bersekutu dengan Musyrikin Mekah, telah melanggar Perjanjian Hudaibiyyah.

Betapa risaunya beliau dengan pencabulan ikatan itu, sedangkan beliau ketika itu adalah musyrik.

Sehingga anaknya Ummu Habibah, isteri Rasulullah menarik tikar yang mahu Abu Sufyan duduki kerana marah atas perbuatannya itu.

Pulanglah beliau dengan hampa dan kecewa setelah beliau gagal meminta maaf daripada Rasulullah.

Begitu perangai seorang musyrikin Mekah yang amat malu dengan perlanggaran janji mereka.

Abu Sufyan juga tidak mereka cerita yang pihak lawan yang mencabul perjanjian.

Semoga kita tidak menjadi lebih teruk daripada ini kerana tiada malu memungkiri janji.

Bukankah piagam MN dibuat kerana mahu memartabatkan Melayu Islam dengan mengumpulkan parti-parti Melayu Islam terbesar di Malaysia dan Umno sendiri yang menjemput Bersatu?

Untuk soalan bidasan ulangan, kenapa tidak diajak Pan bersama dalam MN, saya rasa ia tidak perlu dijawab kerana surat jemputan Presiden Umno kepada Bersatu, jelas membezakan isu yang kita bincangkan sekarang.

Umno sendiri mempelawa Bersatu, PAS pula, tidak pernah mengajak Pan.

Dan umum sudah tahu, Umno juga tidak ingin bersama Pan, yang mana Umno begitu hina, jijik dan dianggap kleptokrat yang penuh noda di mata Pan, anak buah DAP itu.

Eh, sonang bona dalil ekau Jang, nak tuduh orang…..

Mohd Nasir Abdullah

Isu Semasa