Dakwah PAS : Menjelaskan Kekeliruan Dengan Kefahaman Islam

Dakwah PAS : Menjelaskan Kekeliruan Dengan Kefahaman Islam

Menerusi ucapan dasar Presiden PAS bertemakan “Islam Memimpin” di Muktamar Tahunan PAS ke – 64 yang berlangsung di Kuala Terengganu pada tahun 2018, Al Fadhil YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menegaskan:

“PAS menerusi Lajnah Penerangan dan Lajnah Dakwah, mestilah digerakkan sepenuhnya untuk membawa mesej dakwah ke dalam masyarakat Islam secara berkesan untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan dengan kefahaman Islam yang sebenar.”

Lajnah Dakwah PAS Pusat telah dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas berat dan besar ini.

Pertama: membawa mesej (risalah) Islam ke dalam masyarakat (subjek)

Kedua: menggunakan pendekatan yang berkesan (approach)

Ketiga: menjelaskan sebarang kekeliruan yang ditimbulkan (objektif)

Keempat: berdasarkan kefahaman Islam yang sebenar (sumber)

Sumber atau dasar perjuangan PAS ialah Islam. (Sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 3).

Islam adalah suatu Ad Deen atau cara hidup yang berpaksi pada Al Quran (wahyu Allah swt) dan As Sunnah (perkataan, perbuatan dan ketetapan Rasulullah saw).

Objektif perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam adalah bertolak dari dua tujuan utama: (sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5)

a) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah swt.

b) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Approach atau pendekatan yang diambil oleh PAS dalam memperjuangkan dasar perjuangannya telah disenaraikan dengan jelas dan cermat di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 6 dibawah tajuk Usaha-usaha (PAS):

(1) Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

(10) Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjalinkan hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

(11) Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Subjek perjuangan PAS bukan didorong oleh kemahuan politik semata-mata, sebaliknya ia adalah perjuangan untuk mengurus dan melaksanakan risalah Islam dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat

PAS