Demi meninggikan kalimah Allah swt di bumi bertuah ini, keseimbangan tarbiyah, dakwah dan siasah dipacu sebaiknya oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Tarbiyah menjadi mekanisme untuk melahirkan anggota parti yang berkualiti menepati karektor pejuang Islam atau ansorullah.
Siasah pula merupakan gelanggang perjuangan parti untuk menegakkan syariat dan membina daulah toyyibah.
Memimpin ummah menuju keredhaan Allah dalam kehidupan mereka di dunia ini.
Sementara dakwah adalah platform PAS menyebarluaskan kefahaman Islam serta memurnikan cara fikir dan gaya tindak ummah agar menepati petunjuk Allah swt.
Meskipun PAS menyertai saingan politik di pentas demokrasi negara sebagaimana parti-parti politik yang lain, namun PAS menggalas tanggungjawab sebagai gerakan dakwah.
Justeru itu, penampilan PAS sangat berbeza dan unik.
Ia hadhir dengan risalah Islam yang jelas.
Membawa matlamat perjuangan Islam untuk meninggikan kalimah Allah mengatasi ideologi ciptaan manusia.
PAS sebagai sebuah gerakan dakwah beraksi seiring dengan matlamat dakwah Islamiyah itu sendiri, iaitu menyelamatkan manusia dari api neraka Allah swt.
Lantaran itulah, perjuangan ini mesti ikhlas dan menepati kehendak Islam.
Perjuangan ini bukan kerana mencari kelebihan duniawi, publisiti, pengaruh dan kedudukan.
Malah perjuangan ini juga bukan kerana benci dan dendam terhadap musuh.
Tetapi perjuangan Islam yang didukung ini adalah untuk menjadikan Kalimah Allah swt itu tinggi mengatasi segalanya.
Sabda Nabi saw:
عن أبي مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَال
قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Dari Abi Musa Al Asya’ari Rha:
Telah bertanya seseorang (a’raabi) kepada Nabi saw, ada tokoh yang berjuang kerana ghanimah (projek), ada tokoh yang berjuang supaya namanya disebut, berjuang supaya dilihat keterampilannya,
(tambahan dalam riwayat yang lain, berjuang kerana tunjuk berani, kerana benci pada musuh, kerana mahu pelindungan)
Maka siapakah dalam kalangan mereka yang berjuang di Jalan Allah?
Jawab Nabi saw: Mereka yang hanya sanya berjuang untuk meninggikan Kalimah Allah itu Pejuang Fi Sabilillah.
Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat