PAS: Apa Yang Diperjuangkan?

PAS: Apa Yang Diperjuangkan?

Bila mana mengikut ucapan Presiden PAS di Program ulangtahun ke 70 PAS, terasakan bagai belum pernah mendengar bait-bait nasihat yang beliau tuturkan.

Terjemahan al-Quran serta hadis, bagaikan satu lontaran baru yang mengejutkan kita dari lamunan.

Benarlah, pentingnya kita mempunyai murabbi yang senantiasa memberikan ingatan dan kesedaran kepada anak buahnya supaya kembali ke landasan asal jika tergelincir, segera bangun apabila tertidur, kembali fokus bila terlalai, selalu bersabar dengan ujian.

Bagaimana Rasulullah sentiasa diberikan wahyu untuk menjaga umatnya daripada kesesatan.

Penggantinya Abu Bakar, menggunakan wahyu yang sama bagi menyedarkan manusia ketika mana ada yang mengamuk kerana tidak dapat menerima kewafatan Rasulullah dan hal berkenaan zakat.

Umar membetulkan para pengikutnya dengan menjadi penghalang kepada fitnah.

Dan begitulah juga kepada Uthman dan Ali, menjadi ketua kepada pengikutnya dengan jalan-jalan yang Rasulullah tinggalkan.

Zaman berganti, umat Islam kehilangan kepimpinan utama yang diredahi Allah seperti khulafa ar-rasyidin.

Maka tugasan itu diambil pula oleh ketua-ketua yang memahami Islam bagi diterapkan dalam kehidupan manusia, apa yang Rasulullah mahukan terhadap umatnya.

Jawatan ketua bagi membimbing umat ini dipegang oleh ulamak samada dalam keadaan mereka menang ataupun kalah.

Pusingan ini berlangsung sehingga akhir hayat dunia ini.

PAS adalah sebahagian daripada mata rantai ini.

PAS bukan pemula kepada perjuangan ini dan PAS juga bukan pengakhirnya.

Tetapi PAS mengambil bahagian untuk menjadi sekeping daripada “puzzle” perjuangan Islam di dunia.

Sebab itu PAS tidak gila kepada kemenangan.

PAS hanya mahukan Islam diangkat ke tempatnya.

Takdir Allah, PAS hanya menjadi parti samada pembangkang atau gabungan kepada kerajaan.

PAS tidak mempunyai majoriti ke atas pemerintahan Malaysia.

Tidak tertumpu kepada politik sahaja, PAS juga bergerak dalam ruang dakwah dan juga tarbiyyah, bagi menegakkan Islam.

Alhamdulillah, PAS kekal memperjuangkan dasar-dasar Islam yang semua orang tahu dan memahaminya.

Antara jasa PAS, selain daripada penghapusan judi, PAS juga menghapuskan pemikiran kolot iaitu mengasingkan kuasa pemerintahan dengan agama.

Tiada lagi kedengaran suara sekular di Malaysia sekarang hasil pemahaman yang PAS berikan, kecuali daripada yang benar-benar jahil sahaja.

Dahulu muslimat PAS yang bertudung dihina dan disindir kerana mungkin kepalanya botak, sebab itu dia bertudung.

Kini, termasuk artis, mereka tidak ketinggalan mahu bertudung.

Begitulah antara sebahagian hasil perjuangan PAS bagi membantu manusia mengenal Allah samada dalam pendidikan tidak formal ataupun formal.

Perjuangan PAS disokong oleh golongan lemah iaitu seperti nelayan, penoreh dan orang-orang susah yang lain.

PAS amat bangga dengan sokongan mereka.

Kekuatan PAS adalah kerana tiangnya keikhlasan dari majoriti orang-orang miskin dan lemah.

Golongan yang lemah yang tertindas ini, tiada apa yang mereka mahukan selain daripada redha Allah.

PAS dididirikan yang sebahagian besarnya dengan hasil titik peluh golongan ini.

Doa mereka sangat dekat denganAllah.

Sebagaimana kata Saidina Abu Bakar, orang yang lemah dari kalangan kita adalah kuat disisiku.

Insyaallah PAS akan terus menjadi payung kepada golongan ini.

Termasuklah golongan yang mahu bertaubat, mereka merasakan selesa apabila bersama PAS.

Habis semua perkara lagho mereka lakukan dahulu, dibuang.

Harta para pimpinan PAS pula banyak dihabiskan kepada perjuangan ini.

Orang miskin itu juga merasa malu kesungguhan ulamak ini dalam berjuang, lantas mereka juga mengambil sedikit harta mereka yang sudahpun sedikit itu, untuk sama-sama menyumbang.

Masjid ratusan ribu, malahan berjuta berjaya mereka tegakkan dengan saling bekerjasama.

Dan paling penting, masjid-masjid itu berjaya diimarahkan, bukan hanya sekadar simbol kemegahan.

Inilah kepercayaan mereka bahawa pahala Allah tidak hanya kepada banyaknya jumlah sedekah, tetapi ia berasaskan keikhlasan hati mereka memberi.

Terkesan mereka dengan peristiwa sejurus sebelum Perang Tabuk yang menyaksikan derma-derma yang sedikit daripada orang miskin, diterima dengan senang oleh Rasulullah.

Amat sedikit bilangan orang kaya dan cerdik pandai dahulu yang menyertai PAS.

Kalau adapun, mereka terpaksa memakai topeng, bergerak secara sembunyi kerana takut dengan tekanan ekonomi, dihantar bertugas ke pendalaman dan sebagainya.

Tidak sedikit yang dikenakan tindakan kerana menyokong PAS.

Menyebut nama PAS dahulu, seperti menyebut nama penjenayah yang dikehendaki, semua mata akan berpaling tajam memerhatikan kita.

Tidakkah kita teringatkan kisah dizaman para rasul, jika menyebut hal berkenaan Islam, mereka akan diseksa, malah dibunuh?

Ironinya, pemimpin yang menentang Islam itu juga mendakwa bahawa mereka juga berada di atas jalan yang benar.

PAS menzahirkan keikhlasan bagi menyatukan umat dengan sikap PAS menghormati semua pandangan ulamak yang muktabar.

Tiada jemaah yang seteguh PAS yang mana semua aliran, boleh tinggal dengan aman di bawah pemerintahan Presiden PAS.

PAS juga mempunyai perbezaan pendapat dalam berbagai aliran, tetapi berjaya ditangani dengan baik.

Hanya satu pesanan Presiden, apabila duduk dalam PAS, kenalah ikut cara PAS.

Dan ternyata, golongan di luar PAS yang sentiasa mencari perbezaan dengan mendakwa merekalah yang betul, yang lain salah, golongan ini, tidak berjaya memperjuangkan Islam.

Di dalam PAS juga mempunyai orang yang sentiasa mengintai-ngintai peluang keduniaan.

Maka, mereka telah diberikan amaran oleh Presiden PAS, bukan sahaja Presiden sekarang, malahan semua Presiden-Presiden PAS terdahulu telah berpesan bahawa, PAS bukanlah tempat bagi mereka mencari keuntungan dunia.

Hadis yang dibacakan oleh Presiden PAS dalam ucapannya itu, menjelaskan siapa dia hamba dinar dan dirham.

Celakalah dia, celakalah dia, kata Rasulullah.

Insyaallah mereka akan tercampak keluar, dengan sendirinya dari perjuangan ini.

Tidak lupa juga pesanan kepada golongan isti’jal yang sentiasa gopoh mahukan kemenangan, mungkin kerana lupa bahawa PAS adalah satu bahtera yang membawa muatan yang sangat berat, kerana amanah agama ini.

Tidak boleh kita sesuka hati memusing arah dengan sekehendak kita ke sana ke mari.

Perlukan kemahiran mengalihkan haluan dengan perlahan sedikit demi sedikit.

Dan penting juga tidak menjadi lebih alim daripada ulamak yang memimpin.

Jadi, sabar, ikutlah nahkoda.

Dan akhirnya susah payah hasil perjuangan golongan terdahulu iaitu as-Sabiquun sekarang dinikmati oleh kita semua.

Samada as-Sabiquun itu terdiri daripada pimpinan yang dikenali ramai, mahupun as-Sabiquun yang terdiri daripada mereka yang tidak pernah terfikir oleh kita, wujud dalam perjuangan PAS ini, kerana kerjanya yang tidak seberapa.

Akan tetapi semua tugasannya, dia laksanakan mengikut perintah dan ikhlas kerana Allah.

Janganlah kita yang sedang mengecapi kesenangan kini, menjadi peroboh kepada asas yang telah lama didirikan.

Carilah di Malaysia, mana-mana jemaah yang memperjuangkan Islam seperti PAS pada usia 70 tahun ini, pasti tiada anda ketemui.

Aku bangga dengan PAS bukan kerana harta, jawatan dan segala benda dunia, tetapi bangga kerana menjadi salah satu mata rantai perjuangan Islam, walau hanya sekadar menumpang.

Semoga Allah menerima amalan kita semua…

Mohd Nasir Abdullah

PAS