Takziah kepada semua yang terjejas dengan ujian banjir baru-baru ini.
Jika kita mahu bercakap dan mengaitkan dengan politik, maka negeri Selangor, boleh sahaja dijadikan ‘punching bag’ untuk menyalahkan Kerajaan Negeri atas dasar berlainan bendera politik.
Namun, bukan itu tujuan penulisan ini.
Saya lebih gembira jika kita membedah apa yang terjadi disebalik tabir ujian banjir ini.
Pada jangkaan saya, hujung minggu ini, akan berlaku kemasukan beramai-ramai kumpulan atau orang perseorangan yang ingin menghulurkan bantuan.
Pertama kerana cuti dan keduanya kerana gaji yang baru masuk.
Jadi, pastinya insan-insan berniat mulia ini tidak mahu melepaskan peluang berbakti kepada mangsa-mangsa banjir.
Kata orang, berkongsi rezeki, ambil peluang insafkan diri.
Alhamdulillah rakyat Malaysia memang perihatin.
Namun, sepertimana di permulaan tulisan saya tadi, saya tidak bermaksud mempolitikkan isu ini.
Jadi nasihat saya, jika ingin membantu, tolonglah dapatkan maklumat daripada JPKK kawasan terbabit.
Mereka ini walaupun dari Kerajaan PH, tetapi mereka ada senarai nama mangsa yang mana sepatutnya didahulukan.
Atau paling tidak, anda juga boleh bertanya kepada cawangan PH, PAS, Umno mahupun Bersatu, mangsa mana yang patut dibantu dahulu.
Masalah hulur bantuan secara rambang ini telah terbukti menyebabkan berlakunya ketidak seimbangan pembahagian bantuan kerana apa yang kita lihat dengan mata tidak semestinya keadaan sebenar.
Ingat kisah banjir di Manik Urai dahulu?
Yang ada dalam kepala kumpulan yang mahu membantu ialah Manik Urai, Manik Urai.
Sedangkan sebahagian besar Kuala Krai terkena musibah banjir.
Tetapi tumpuan tertumpu kepada Manik Urai sahaja kerana tular dan mereka tidak tahu keadaan setempat.
Pakai masuk dan redah sahaja.
Disebabkan itu, maka ada sebahagian mangsa dari kawasan lain, datang ke Manik Urai, bagi mencari lebihan derma.
Kemudian timbul pula cerita, ada orang luar cuba mengambil kesempatan untuk mendapatkan derma dengan cara mudah, mengaku menjadi mangsa banjir, sedangkan orang Manik Urai tidak mengenali mereka.
Ya memang tidak kenal, mereka juga mangsa, tetapi dari kawasan lain.
Ada juga menuduh, kalau betul mangsa, kenapa datang dengan kereta.
Ya lah, sudah kereta boleh selamatkan waktu itu.
Kalau rumah mudah dialihkan, mesti mereka selamatkan rumah dahulu.
Boleh sahaja kumpulan membantu untuk membahagikan sendiri bantuan kepada mangsa, tetapi pastikan anda bertanya kepada pengurusan kampung.
Anda mungkin juga pernah dengar tentang mangsa banjir di sebuah tempat, sengaja tinggal di dalam khemah, di bawah pokok semata-mata mahu melahirkan simpati, drama airmata.
Kemudian mereka ini berkeras tidak mahu pindah kerana sering dapat derma yang lumayan.
Akhirnya terbit pula fitnah kerajaan tidak mempedulikan rakyat.
Anda takut pengurusan kampung tipu duit anda, tapi mangsa banjir, ada juga sebahagian kecilnya menipu.
Keduanya berkenaan penularan apa-apa cerita.
Kita kenalah cerdik dalam menilai semua cerita-cerita itu.
Betul, walau marah sekalipun, jangan kita jadi penyambung lidah fitnah.
Pemfitnah ada niat dia, kita pula jadi tukang sebar.
Kita dapat lihat ada yang menuduh ‘frontliners’ tidak membuat kerja, sedangkan mereka telah berusaha sedaya mungkin.
Ada juga yang memfitnah, jalan ditutup kononnya pasukan keselamatan menghalang bantuan disampaikan, sedang ceritanya, jalan itu sudah sesak.
NGO-NGO pastinya akan berebut-rebut menyediakan makanan.
Biasanya mereka tidak membuat pakatan sesama mereka.
Jangan tidak tahu, sesetengah NGO ini, juga sebagai tempat mendapatkan wang dan mereka ada egonya.
Jadi bertindihlah bantuan makanan yang diberikan, makanan menjadi basi kerana tidak habis.
Alangkah eloknya jika diadakan persepakatan membahagi, pembaziran dapat dielakkan.
Salahkah berbincang dengan JPKK di tempat itu?
Kita faham, NGO juga mahu memperkenalkan nama mereka.
Sudah ada contohnya, ketika bulan Ramadhan, banyak NGO memberi bantuan bertindih kepada gelandangan.
Akhirnya makanan dibuang, membazir.
Di sinilah kita dapat melihat kepentingan organisasi politik, mengatur dan merancang dengan adanya pengagihan kuasa dari atas ke bawah.
Juga sama kisahnya dengan pengumpulan baju-baju terpakai.
Beradablah wahai manusia.
Ini bukan tempat melonggokkan pakaian lama kamu yang sudah tidak boleh dipakai.
Sedekahkanlah yang elok daripada harta kamu, jika tidak dapat yang paling elok sekalipun.
Bukan diberikan yang paling buruk diantara yang terburuk daripada harta yang sudah kamu tidak inginkan.
Dan terakhir, sekalipun benci kepada golongan tertentu, tetapi tidak perlulah mendakwa bencana ini adalah kemurkaan Allah terhadap SOP penjarakan saf dalam solat.
Ia terlalu tumpul untuk menyindir menggunakan isu ini.
Ketika solat di masa sebelum Covid dahulu pun, berlambak orang yang tidak datang bersolat, dan yang datang solat, solat mereka tidak merapatkan saf.
Ia tetap sah. Ini bukan isu aqidah.
Mendakwa Allah murka dengan isu tidak merapatkan saf yang telah disepakati oleh majoriti ulamak berbagai aliran, baik dari kerajaan, politik, ASWAJA, Salafi, pondok ini, maka siapa pula kamu?
Bagaimana jika kita menukarkannya begini, bencana ini adalah murka Allah terhadap kamu, kerana memaki hamun majoriti ulamak disebabkan fatwa tidak merapatkan saf solat, atas ada alasan jangkitan yang telah disahkan pakar?
Maka Allah turunkan bala kerana kelancangan mulut kamu? Setujukah begitu?
Bilamana kamu merasa gembira melihat masjid menjadi penuh kerana banjir selepas SOP yang dikatakan mengarut itu, sambil menyindir-nyindir bala banjir ini, tidakkah kamu mendapat maklumat yang penumpang di masjid-masjid itu, ada segelintir yang tidak bersolat?
Ia seperti pesakit di hospital, walaupun sakit, susah, tetap tidak bersolat.
Adakah itu kemuliaan atau kehinaan kepada masjid?
Masjid menjadi tempat menumpang makan, mandi, kencing dan berak mereka sahaja.
Itu yang kamu banggakan?
Akhir kata, selamat membantu mangsa banjir, semoga niat kita semua ikhlas kerana Allah.
Jaga aib mangsa dengan tidak menyebarkan gambar-gambar yang tidak sepatutnya.
Jangan jadikan medan ini sebagai medan dosa kita pula. Amiin.
Mohd Nasir Abdullah