Menyingkap diari 2021, jika disenaraikan satu persatu gerak kerja kebajikan yang PAS laksanakan pasti penulisan ini akan menjadi tersangat panjang dan membosankan.
Tapi percayalah disebalik gerak kerja kami ada kenangan pahit manis yang sangat berharga buat kami ahli PAS.
Masih terngiang-ngiang soalan ahli PAS kepada pimpinan, “Apa bantuan yang rakyat perlukan?”, “Apa lagi gerak kerja kebajikan yang boleh kami bantu?”
Maka bergeraklah ahli-ahli PAS menyampaikan sumbangan kepada rakyat yang terjejas disebabkan PKP.
Tabung Bencana COVID-19 digerakkan diseluruh negara dan ‘face mask’ serta ‘hand sanitizer’ diagihkan secara meluas.
Tempat-tempat awam juga disanitasi oleh petugas-petugas Jabatan Amal.
Tidak dilupakan sebuah projek ‘Amal Mega Blood Donation’ berjaya dilaksanakan di seluruh negara pada awal tahun ini.
Ahli PAS tidak boleh duduk diam disaat dia tahu bahawa masyarakat di sekelilingnya sedang berada dalam kesusahan.
Rumah ke rumah didekati.
Khabar mereka ditanya dan dihulurkan serba sedikit apa yang ada di tangan.
Tanpa mengira jantina, bangsa dan agama mereka menghulurkan bantuan.
Pernah suatu ketika salah seorang ahli bertanya, “Bagaimana kita ingin pastikan gerak kerja kebajikan kita efisien dan berkesan?”
Dari pertanyaan itu lahirlah Khidmat Malaysia yang kini menjadi satu agensi yang mengurus organisasi kebajikan di bawah PAS dalam melaksanakan misi-misi kebajikan secara berterusan.
Keprihatinan PAS terhadap kebajikan rakyat menjadikannya bergerak jauh ke hadapan.
Unit-unit seperti Skuad Prihatin, Jabatan Amal, Briged Muslimat, Dapur Rakyat, malah Lajnah-Lajnah Kebajikan sentiasa aktif mencari golongan yang memerlukan untuk dibantu.
Di saat Kedah dilanda banjir di Gunung Jerai, PAS antara yang terpantas menghulurkan bantuan tanpa menuding jari mencari orang untuk dipersalahkan.
“Gerak kerja PAS bukan di alam maya tetapi di dunia nyata,” begitu kata seorang ahli PAS apabila ditanya perasaannya melihat komen-komen negatif di media sosial.
Semasa banjir di Ampang, PAS turun membantu mangsa-mangsa banjir bukan setakat menghulurkan bantuan tetapi membersihkan rumah mereka juga.
“Kami faham kerja-kerja pembersihan selepas banjir sangat memenatkan dan mengambil masa yang lama,” jelas salah seorang petugas yang terlibat.
Kini, banjir yang melanda Selangor, Pahang, Kelantan, dan beberapa buah negeri lagi merupakan yang terburuk.
Disaat media sosial kalut mencari dan mencaci, ahli PAS pula mendaki dan memberi bantuan dari bumbung ke bumbung mangsa-mangsa yang terperangkap banjir.
PAS bukan sebuah parti yang kaya dengan harta namun kita akan sentiasa berusaha menyumbang dengan apa yang kita ada baik harta, tenaga mahupun masa.
Ini adalah kebanggaan PAS kerana disamping menjadi penyumbang kita juga menjadi pencetus kepada sebuah masyarakat berkebajikan.
Kebaikan yang didapati daripada gerak kerja ini bukan sahaja mengalir kepada kami tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Tahun 2021 banyak menguji kita semua.
Namun, hasil tarbiyah yang diberikan, semakin kami ditekan, semakin bersemangat kami bergerak.
Tarbiyah kami adalah Islam yang berkembang membawa cahaya ke tempat-tempat yang gelap.
Oleh itu, menjadi suatu norma buat kami untuk bergerak ke ceruk-ceruk yang gelap lalu membawa cahaya Islam yang sempurna ke tempat-tempat tersebut.
Hasilnya, kami bukan sahaja diberi ketahanan mental menghadapi musuh yang menyerang secara halus, tetapi keberanian untuk tampil menghulurkan bantuan ditengah kemelut yang menekan.
Ingin admin tutup dengan kata-kata daripada guru teragung kita, Rasulullah SAW ketika ditanya tentang amalan yang paling dicintai Allah,
Baginda ﷺ menjawab,
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah سبحانه وتعالی adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke hati seorang mukmin, atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.”
(Hadits Riwayat Ath-Thabrani 6/139)
Semoga segalanya dipermudahkan urusan.