PAS sudah biasa kalah dan tidak takut untuk meneruskan perjuangannya dalam dunia politik tanah air serta tidak serik menyertai mana-mana pilihan raya walaupun akan kehilangan deposit.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perjuangan PAS tidak pernah terhenti, malah parti itu mempunyai paling ramai musuh berbanding parti-parti lain.
Menurutnya tidak seperti parti lain yang lemah apabila pemimpinnya tidak berupaya, sebaliknya PAS memiliki pemimpin yang akan silih berganti untuk melangsungkan perjuangan.
“Mereka lebih takut daripada kita. Kita biasa kalah tak apa. Dia bila kalah sekali lembik lutut,” katanya berucap merasmikan Kompleks Pentadbiran PAS Negeri Kedah, malam tadi.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan semua ahli PAS supaya terus beristiqamah di atas dasar Islam yang diperjuangkan dan sanggup bertugas walau diletakkan di mana sahaja.
“Tetaplah teguh di mana sahaja kamu diletakkan, sama ada di hadapan, di belakang, di kepala, di ekor, di atas… tetaplah istiqamah dengan Islam,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata jika di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ada kawasan di mana PAS kehilangan deposit, di negeri lain, termasuk tiga negeri diperintah PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, juga ada calon parti itu yang hilang deposit.
Namun, katanya ahli PAS terus bekerja kuat ketika bertanding pada pilihan raya walaupun ada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai hanya satu kawasan PAS.
Namun, yang penting Abdul Hadi berkata adalah istiqamah di atas dasar Islam yang diperjuangkan.
“Jangan ikut jalan orang yang tak mengerti. Tak mengerti ni yang pertama nak menang cepat. Kalau boleh hari ini berjuang esok menang… dua tiga minggu menang.
“Yang kedua putus asa tak ada harapan Islam boleh menang. Dua jenis manusia ni tak tahu kekuasaan Allah,” katanya yang mengingatkan bahawa ulama tafsir mengatakan jarak antara doa dan diperkenankan doa itu adalah selama 40 tahun berdasarkan kejadian yang menimpa Firaun.
Beliau juga memberi contoh bagaimana pembinaan kompleks PAS yang mengambil masa lama untuk didirikan hasil sumbangan sedikit demi sedikit golongan petani dan orang miskin.
“Ini satu contoh dan kita saksikan kini kita berjaya memerintah tiga kerajaan negeri serta dapat bersama Kerajaan Pusat dengan baharu sahaja mukadimah… baru gear satu, bukan gear lima lagi,” katanya.