Laporan Polis Dibuat Berhubung Dakwaan Ketua Hakim Negara Terlibat Konspirasi Kes Najib-Zahid

Laporan Polis Dibuat Berhubung Dakwaan Ketua Hakim Negara Terlibat Konspirasi Kes Najib-Zahid

Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini membuat satu laporan polis berhubung tuduhan bekas menteri Wilayah Persekutuan Shahrir Samad di laman Facebook terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mengatakan wujud konspirasi antara pemimpin politik dan beliau.

Dalam sebuah kenyataan, pejabat itu turut berkata antara tuduhan tersebut mendakwa Tengku Maimun bersetuju membantu mempercepatkan kes dan jatuh hukum terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pejabat ini menafikan tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram antara pemimpin politik dan ketua hakim negara,” katanya sambil menambah Tengku Maimun tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana pemimpin politik berhubung kes mahkamah dua pemimpin Umno itu.

Menurut kenyataan itu, kes-kes yang belum selesai di mahkamah hendaklah berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan ketua hakim negara atau individu lain.

Semalam, laman “Facebook Shahrir Samad – Tok Uban” membuat hantaran mempersoalkan kandungan dokumen tular yang mengatakan wujud konspirasi antara pemimpin beberapa parti politik termasuk dari PAS, Bersatu, dan Pejuang untuk mempercepatkan jatuh hukum terhadap Najib Razak yang disabitkan kesalahan rasuah berkait dana RM42 juta SRC International.

“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat ‘TSMY’ (Muhyiddin Yassin), maka ianya membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan AG (peguam negara) dan CJ (ketua hakim negara).

“Kalau betul, sudah berlaku kerosakan sistem ‘judiciary’ dan kehakiman negara,” kata hantaran itu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kandungan dokumen tersebut dan menyifatkannya sebagai sampah dan tidak boleh dipercayai.

Dalam pada itu, pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan turut menegaskan pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan tuduhan-tuduhan tersebut bertujuan memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

“Selain itu, tuduhan-tuduhan ini bertujuan untuk subvert pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai terhadap Najib dan Zahid,” katanya.

Isu Semasa