Antara Terminal Bas Kota Bharu Dan Shah Alam: Keadilan Dalam Menilai

Antara Terminal Bas Kota Bharu Dan Shah Alam: Keadilan Dalam Menilai

Coretan ini dituju khas kepada yang menggelar terminal bas Kota Bharu sebagai kandang lembu

Pendahuluan

Pada 10 Disember 2014, proses membaik pulih Terminal Bas Seksyen 17 bermula.

Ia ditutup dan operasi dipindah ke Terminal Bas Sementara di Jalan Lontar Peluru 13/39, Seksyen 13 bersebelahan pasar raya Giant dan Stadium Shah Alam.

Asasnya, proses baik pulih ini tidak menepati unjuran masa yang ditetapkan sebagaimana diakui oleh Exco Kerajaan Selangor pada waktu itu, YB Rodziah Ismail.

Namun ianya bukanlah satu perkara yang patut dijadikan peluru politik murahan.

Perkara biasa sahaja apabila sesuatu projek berdepan hal hal luar jangka.

Operator Bas Utama

Di Terminal Bas Sementara ini dahulu, wujud beberapa operator bas lokal seperti;

* Maju Express

* Transnasional

* Plusliner

* Konsortium Malaysia

* Perdana Express

* dan beberapa yang lain

Laluan Utama Bas

Terminal Bas Sementara di Seksyen 13 ini menawarkan laluan ke pelbagai destinasi dalam negara.

Antaranya adalah;

– Shah Alam ke Penang

– Shah Alam ke Kangar

– Shah Alam ke Alor Setar

– Shah Alam ke Butterworth

– Shah Alam ke Melaka

– Shah Alam ke Muar

– Shah Alam ke Kota Bharu

– Shah Alam ke Kuala Terengganu

– Shah Alam ke Ipoh

Itu antara beberapa lokasi yang mahu kita sebutkan sahaja dan masih terdapat banyak destinasi yang lainnya.

Berapa Lama Operasi “Sementara” Ini?

Ia bermula 10 Disember 2014 dan berakhir pada 1 Mei 2019 iaitu lebih kurang 5 tahun.

Bezanya adalah di Shah Alam ini, Terminal Sekyen 17 telah wujud dan ia hanya mahu dinaik taraf menjadi lebih moden sahaja.

Benda dah wujud cuma nak sempurnakan lagi sahaja.

Menteri Besar Amirudin Shari, yang membuka terminal itu secara rasmi pada 18 September 2019, berkata Terminal 17 adalah penting bagi Shah Alam yang tidak mempunyai terminal bas yang sempurna sehingga saat itu.

Beliau berkata terminal RM7.7 juta itu dibina (dinaik taraf) dengan dana daripada Kementerian Pengangkutan.

Walaupun Selangor negeri paling kaya dan maju di Malaysia, tetap juga menggunakan dana persekutuan.

Biarlah, saja nak sebut.

Kenapa Seksyen 13 Tidak Kandang Lembu?

Boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia dalam masa 5 tahun pernah menggunakan “terminal bas sementara” ini, dengan segala masalah yang hampir sama dengan Kelantan.

Boleh sahaja anda buat carian di laman Foursquare berkaitan rungutan pengguna terminal bas ini.

Antaranya “toilet sangat teruk, terbantut nak berak”, “jamban lebih besar daripada surau”, “apalah daif sangat kat sini hadoi”, “toilet teruk serupa berak kat sungai”, “toilet takda air”, “very few waiting seats”, “pot holes everywhere.

It should be a temporary bus station but it’s been here forever”, “heard someone has car stolen” dan ribuan lagi rungutan dan konotasi negatif lainnya.

Saya ada lampirkan dalam hantaran ini beberapa “printscreen” untuk kita sama-sama lihat contohnya.

Bumbung terminal juga lebih rendah berbanding terminal sementara di Kota Bharu, malahan saiznya juga lebih pendek dan kecik.

Keadaan sekitar yang penuh sesak pada musim perayaan, dengan kerusi yang tidak cukup sehingga penumpang terpaksa duduk di celah celah tangki air dan kaki lima bangunan sahaja.

Gambar gambar kenangan lama “terminal bas sementara seksyen 13” ini ada juga saya lampirkan bersama.

Bagi mereka yang pernah menggunakannya pasti akan ingat suasana di sini.

Baik, balik semula kepada persoalan tadi, kenapa dahulu (2014-2019) tiada kedengaran cerita “kandang lembu” di Seksyen 13 ini?

Ia adalah kerana kematangan dan rasionalnya rakyat Malaysia.

Termasuk orang Kelantan yang ratusan ribu telah menggunakan terminal ini dahulu.Itu sahaja.

Mereka tahu terminal ini hanyalah sementara, dan yang kekal di Seksyen 17 sedang dibaiki dan dinaiktaraf.

Sejarah Terminal Bas Kota Bharu

Orang Kelantan yang cerdik dan sayangkan negerinya, sudah pasti tahu bahawa evolusi dalam perkhidmatan bas telah lama berlaku di Kelantan.

Ada yang pernah guna stesen bas lama dalam bandar Kota Bharu (Jalan Hilir Pasar), ada yang pernah naik dan turun di Stesen Bas Jalan Hamzah, yang lain pernah guna Stesen Bas Langgar dan selepas itu di Lembah Sireh.

Maknanya kita di Kelantan telah wujud banyak lokasi turun dan naik bas ekspres dan juga bas henti henti ini.

Sebagai rekod, di Lembah Sireh, terminal sementara ini adalah berdiri di atas tanah milik individu. Ia menumpang sahaja.

Lalu segala proses naik taraf dan pembangunan lain di situ adalah tidak wajar dan banyak proses birokrasinya.

Terminal Baharu di Tunjong

Projek pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Tunjong yang tergendala sebelum ini akan diteruskan dengan majlis pecah tanah bakal dilakukan, bulan depan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata semalam, projek terbabit mengalami kelewatan berikutan tiada kesanggupan di pihak kontraktor.

Soalannya kenapa tidak sanggup sebelum daripada ini?

Hal utama adalah ketiadaan fasiliti lain yang akan menyokong kepada kewujudan terminal bas berkenaan ketika itu yang menyebabkan tiada kontraktor yang tampil.

Kita minta kontraktor bangunkan terminal di satu lokasi yang belum wujud jalan, sumber elektrik, air, proses menambun tanah dan beberapa hal teknikal yang lain, maka sudah pasti tiada yang sanggup.

Ia berbeza dengan Terminal Seksyen 17 tadi yang mana ia sudah wujud, dan hanya mahu dimodenkan, itu pun ambil masa 5 tahun!

Guna pula dana persekutuan.

Sedangkan di Kelantan kecoh pakat suruh guna wang kerajaan negeri.

Pelik bukan sikap “double standard” orang kita?

Penutup

Jika negeri maju seperti Selangor dahulu, yang hanya mahu menaiktaraf terminal sedia ada, maka rakyat terpaksa guna yang “sementara” selama 5 tahun dengan segala kekurangan, tetapi bersabar dan tidak kecoh, maka berilah peluang di Kelantan untuk membina terminal baharu yang serba moden di atas tanah kosong “start from zero” ini.

Cukup sedih apabila wujud rakyat Malaysia yang berhati kejam dengan wewenang menghina Kelantan seperti “kandang lembu” terminal bas sementaranya.

Lebih menyakitkan hati apabila orang Kelantan sendiri, yang sempit faham politiknya turut melompat gembira apabila orang menghina negeri tanah tumpah darah mereka.

Kenapa kita berikan contoh ini sekarang sewaktu isu “kandang lembu” ini kelihatan sedikit reda?

Ya kita tahu ia reda seketika, namun percayalah bahawa pemain parti politik yang memusuhi PAS sudah pasti akan “recycle” isu terminal ini tidak lama lagi. Itu pasti.

Akhirnya, akan wujud orang yang marah apabila kita bandingkan masalah Kelantan dengan negeri lain.

Isu air ke, isu sampah ke atau isu apa pun, bila kita buat perbandingan antara negeri negeri dalam persekutuan tanah Melayu, mesti mereka marah.

Eh, yang kau banding terminal kami dengan kandang lembu boleh pulak?

Nazman Che Iberahim

Isu Semasa Kelantan