(Sajak Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, sebagai maklum balas kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mengkritik usaha pemartabatan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam sebagai ‘gila’ dan ‘mundur ke belakang’)
Era Rafidah sudah berlalu
Mujur ia masih boleh berbahasa Melayu
Khabarnya Vietnam maju ekonominya
Adakah Inggeris bahasanya?
Bilang Pak Jokowi Indonesia lebih bitara
Adakah Inggeris bahasa kesatuannya?
Mak cik anggota komuniti baru komprador
Bahasa sendiri bahasa mimpi dalam tidur
Ingat surat 21 September ’53?
Bertulis Inggeris dengan bangga
Melayu penaksub tak berasa apa
Kalau kita terlepas Pedra Branca
Bahasa hilang pulau pun hilang
Tak apalah asal Inggeris terbilang!
Kendala ekonomi bukan dek bahasa
Tapi korupsi merajalela
Ditambah kerenah katak siasah
Pelabur luar berasa gundah
Kami teringat akan Abang Tuah
Diplomat Melaka ke luar negara
Bahasa Melayu tetap di lidah
Namun kuasai berbelas bahasa.
Anwar Ridhwan