Solidariti Untuk Idrissa Guaye

Solidariti Untuk Idrissa Guaye

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh Dunia Islam pada hari ini ialah budaya songsang yang dimegah-megahkan serta dibangga-banggakan sehingga tidak ada lagi perasaan malu dan segan, semuanya normal di atas nama kesamarataan dan kebebasan yang begitu luas diperjuangkan ketika ini.

Fenomena ini begitu cepat merebak ke seluruh dunia di era globalisasi ini umpama ombak tsunami yang membadai bumi.

Apa yang membimbangkan, ia sudah menjadi fenomena global dan bukan lagi di negara-negara Barat sahaja.

Masyarakat manusia ditekan dan dipaksa supaya menerima budaya songsang yang keji ini, jika membantah maka akan dikecam dan dihina kerana menolak keadilan, kebebasan dan kesamarataan termasuk disisihkan.

Normalisasi budaya songsang ialah menjadikan amalan dan budaya yang bercanggah dengan fitrah semulajadi manusia sebagai satu perkara normal dan biasa.

Dalam konteks ini ialah LGBT, sehingga golongan ini diangkat dan disanjung sama ada secara sedar atau tidak, maka mereka dengan megah mendabik dada kerana dibela oleh pihak-pihak samada dalam mahupun luar negara.

Walhal apa yang mereka lakukan bercanggah dengan tabiat semula jadi manusia, sehinggakan binatang yang tidak mempunyai akal pun tidak akan melakukannya.

Beberapa hari lalu pemain boleh sepak muslim dari kelab PSG (Paris Saint-Germain) yang berasal dari Senegal, Idrissa Guaye dikecam oleh media Barat dengan begitu hebat sekali kerana enggan turun padang dalam satu perlawanan kerana diminta untuk memakai simbol yang menyokong LGBTQ.

Sebelum daripada peristiwa ini, legenda bolasepak Mesir Abu Tarikah juga turut menerima kecaman yang sama dari pihak stesen televisyen BEIN kerana kecamannya terhadap budaya songsang ini.

Allah maha kaya dan berkuasa, di saat dia menerima kecaman lalu Allah menunjukkan kebesarannya apabila dunia dikejutkan dengan virus baharu iaitu ‘ Monkeypox ’ yang dilaporkan merebak di kalangan golongan gay khususnya di negara-negara Barat yang mengharuskan perkahwinan sejenis.

Ketika dunia belum lagi pulih lagi akibat penularan virus Covid-19, tiba-tiba datang pula virus baharu.

Bagi orang yang beriman, segala musibah yang berlaku mempunyai hikmahnya.

Ia satu amaran kecil dari Allah agar manusia kembali kepada-Nya.

Apabila ia berlaku ke atas golongan “orang-orang yang tidak beriman”, maka ianya adalah bala.

Adapun jika ia terkena juga ke atas orang beriman, maka ianya adalah ujian daripada Allah untuk bersabar.

Selagi mana adanya bulan dan bintang selagi itulah ada manusia yang melakukan maksiat, itu adalah lumrah dan kita dituntut sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

Akan tetapi berbeza dengan orang yang menzahir dan bermegah melakukan kemungkaran yang sangat dimurkai dan mengundang bala daripada Allah, mereka bangga dan angkuh tanpa ada malu dan takut akan Allah SWT.

Lihatlah kepada kisah-kisah Al-Quran, bala yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat zaman dahulu seperti kaum ‘ad, Tsamud dan Lut apabila mereka berbangga melakukan maksiat dan bermegah-megah serta menyanjungnya.

Ketika Nabi Lut memberiKan nasihat kepada kaumnya supaya meninggal amalan keji iaitu perbuatan liwat, mereka mengecam Nabi Lut dengan menyifatkannya sebagai orang-orang suci.

Dunia tidak pernah melalui suasana berskala besar dan menyeluruh kerana globalisasi maklumat sepertimana hari ini.

100 tahun lalu mereka yang melakukan perbuatan songsang ini dikenakan hukuman yang sangat keras di mana-mana negara termasuk Barat.

20 tahun kemudian hanya denda dan amaran sahaja, namun 5 tahun kebelakangan ini ianya terbalik apabila sesiapa sahaja yang mengecam golongan ini pula yang dipulau, dikeji bahkan dikenakan tindakan undang-undang.

Saya menyedari bahawa “penolakan“ ke atas golongan ini akan mendedahkan kepada kecaman di media sosial, akan tetapi cukuplah ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT akan kebencian terhadap perbuatan maksiat terkutuk ini.

Semoga Allah SWT mengampuni dan menyelamatkan kita semua.

Islam Menyatukan Umat.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

Dunia Islam