PRU-15: Dua Mazhab Dalam Umno

PRU-15: Dua Mazhab Dalam Umno

Tanggal 31 Julai ini adalah hari yang paling minima dijanjikan Umno, tidak akan diadakan PRU sewaktu kerajaan mengadakan persefahaman dengan semua parti-parti politik di Malaysia.

Kemudiannya, sebelum sampai lagi tarikh ini, sudah ada suara dalam Umno yang menuduh pembangkang telah melanggar persefahaman ini kerana ada antara mereka yang menolak usul berkenaan SOSMA.

Bermakna, satu gelombang telah dilakukan Mac lalu.

Dan sekarang ada gelombang susulan.

Tetapi dalam Umno sendiri, mereka ada dua mazhab politik bagi isu ini.

Mazhab pertama ialah mazhab yang inginkan PRU diadakan segera dengan berbagai naratif dan alasan bohong bagi menampakkan betapa terdesaknya negara sekarang.

Manakala satu lagi mazhab menolak apa jua alasan bagi mempercepatkan PRU kerana tempohnya masih relevan.

Mazhab menyokong pada awalnya menyerang pembangkang, sekarang ini sedang galak menyerang PAS pula, rakan kerajaan mereka.

Imam mazhab mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tanpa ada kebijaksanaan, rasa malu dan segan, mereka menuduh Presiden PAS takut kehilangan kuasa jika PRU awal diadakan.

Dalil yang diberikan imam mereka ini amat pelik.

Kalau dalam bahasa hadis ia adalah riwayat munkar, perawinya dhaif dan menyelisihi perawi tsiqah (terpecaya).

Manakan mungkin Presiden PAS takut kehilangan kuasa kerana apabila diberi peluang mengemukakan nama barisan menteri daripada PAS, tiada dikemukakan nama beliau, sedang beliau adalah ketua jemaah Islam.

Beliau pernah dua kali kalah di Marang, sudah pernah jatuh kerajaan negeri, hasil dari penipuan PRU 2004.

Tetapi tetap gagah berdiri melawan sesiapa sahaja yang cuba memesongkan Islam.

Beliau pernah diangkat menjadi orang nombor dua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) oleh Syeikh Yusof Al-Qaradhawi.

Jawatan pertama bagi anak melayu, kerana beliau dipercayai dunia Islam.

Tetapi selepas tamat penggal, beliau melepaskan jawatan itu.

Ini kerana beberapa perkara yang beliau mahu lakukan, tetapi terhalang.

Beliau boleh sahaja bersabar menunggu datangnya waktu untuk beliau menjadi Ketua KUIS, dengan menurut kehendak orang.

Tetapi prinsip, kekal prinsip.

Dan ketegasan beliau melambatkan PRU ini jelas kerana rakyat sedang menderita dengan keadaan ekonomi yang gawat.

Kerajaan mesti tumpukan perhatian membantu rakyat dahulu.

Bukan sibuk dengan PRU yang buatkan rakyat marah.

Prinsip dan ketegasan hidup juga tidak berlaku kepada Zahid Hamidi yang masuk dua minggu ISA sewaktu zaman Reformasi dahulu, kemudian dibebaskan, lalu memutuskan untuk tidak bersama ‘cikgu’nya lagi, Anwar Ibrahim.

Sekurang-kurangnya PAS yang ketika itu TS Presiden PAS, masih menjawat Timbalan Presiden, kekal bersama Anwar kerana beliau dizalimi sebelum dibicarakan.

Inilah dinamakan prinsip, bukan tinggal kawan kerana gila jawatan.

Ia juga membuktikan yang Zahid langsung tiada nilai sahabat sejati.

Mungkin kerana itu beliau menjadi Presiden Umno yang paling lemah dalam sejarah, kerana tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.

Kenapa diangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Kerana tiadanya kepercayaan rakyat terhadap Zahid dan beliau juga hilang keyakinan diri yang rakyat akan menerimanya sebagai PM.

Manakala Najib juga tercemar teruk dengan imej 1MDB beliau itu.

PAS dalam politik, ibarat kaunter dalam pasaran saham.

Rugi itu mesti, untung itu bonus.

PAS ini, kalah dalam tangan, menang belum tentu.

Tetapi PAS percaya kepada pembalasan di akhirat, itulah kemenangan sejati.

Inilah motivasi yang Presiden PAS selalu tekankan dan beliau membuktikannya, bukan hanya sembang kosong.

Tiada gunanya Zahid mengugut dengan ugutan keduniaan kepada PAS yang sudah lali dengan kekalahan.

Yang sepatutnya Zahid lihat ialah bagaimana keputusan mahkamah akan mempengaruhi kerjaya politik beliau yang terlalu merudum sekarang ini.

Menangguhkan PRU15 bermakna membuka jalan Zahid dan Najib dikenakan hukuman jika didapati bersalah.

Maka peluang untuk menjadi PM, pasti akan terus terkubur.

Dan, mempercepatkan PRU15 adalah salah satu cara bagi menyelamatkan diri mereka daripada hukuman, kerana laungan keyakinan mereka sangat kuat, konon untuk kembali menguasai Malaysia, apalagi setelah menang di dua PRN walaupun undi mereka merosot.

Manakala Presiden PAS dan pimpinan PAS lain yang sedang menjaga negeri dan negara, tiada langsung kes di mahkamah.

Jadi munasabahnya ialah Zahid mahu PRU disegerakan kerana takut didapati bersalah.

Ini adalah jalur yang sahih.

Ia mutawatir, difahami, didengari, diketahui oleh semua rakyat Malaysia yang mukalaf.

Hanya sahaja segelintir penyokong Zahid dalam Umno yang tetap menuduh Presiden PAS sebagai takut kehilangan kerusi.

Namun, majoriti penyokong Umno yang bijak, semuanya menolak riwayat palsu ini.

Mereka mensahihkan riwayat yang Presiden mereka sedang ketakutan, sehinggakan pemilihan Umno turut ditangguhkan melalui pindaan perlembagaan mereka.

Ingatlah wahai ahli Umno sekelian, PAS mengajak untuk bersama membaiki negara dengan mengenepikan individu-individu yang bermasalah yang mementingkan diri mereka.

Umno boleh menjadi lebih baik dan mulia, tanpa orang seperti ini, dikekalkan dalam Umno.

PAS mengambil berat masalah ini bukan kerana mahu campur tangan hal dalaman Umno, tetapi Umno sebagai tulang belakang parti memerintah, maka Umno perlu diselamatkan dari golongan bermasalah ini.

Zahid ni, jangankan kata nak dipilih memimpin persatuan dunia, nak sambung jadi Presiden Umnopun sampai kena minta syafaat pinda perlembagaan dari ahli Umno….lemah.

Tupun Presiden PAS juga yang dituduhnya gila kuasa.

Mohd Nasir Abdullah

Politik