PAS berpandangan parti itu tidak ada masalah besar dengan hasrat parti lawan yang dilihat gigih berkempen mahukan rakyat Kelantan menukar kerajaan PAS di negeri terbabit.
Bagaimanapun Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah melontarkan soalan buat para pengundi yang akan membuat pilihan nanti:
Apakah pilihan yang lebih baik daripada parti itu jika yang ada yang mahu mengubah angin?
“Sebab sekarang asyik bercakap nak tukar kerajaan… tukar nak bagi siapa (perintah), cuba bagitahu? Nak tukar boleh, itu hak rakyat.
“Orang mengundi (apabila) sampai masa (nanti) hak dia kita tak boleh sekat.
“Tapi ambo (saya) nak tanya, tukar nak bagi pada siapa? Jawablah,” katanya.
Jika mereka mahu menyerahkan mandat kepada BN, Mohd Amar berkata, adakah negeri yang diperintah gabungan ditunjangi Umno itu tidak mengalami masalah air.
“Air di Kelantan keruh macam teh. Di Pahang yang BN perintah jernih setara mana?
“(Kalau) kata nak buat Islam lagi baik kalau jadi kerajaan, negeri yang diperintah BN buat Islam setara mana Islamnya?” tanyanya lagi.
Sementara itu Mohd Amar turut mengakui kekangan kewangan dihadapi PAS sepanjang lebih 30 tahun memerintah Kelantan, namun tegasnya dalam keadaan begitu mereka tidak mengkhianati rakyat.
“Lebih 30 tahun tak ada pembangunan, peluang kerja tak ada, air tak selesai, betullah – kita akui.
“Tapi kita makan duit ke? Kita khianat ke? Kita rasuah ke? Cuba jawab.
“Miskin memang kita mengaku miskin, tetapi kita nak orang miskin baik atau orang kaya yang jahat?” soalnya.