Segelintir Pemimpin UMNO Ada ‘Bisul Di Punggung’

Segelintir Pemimpin UMNO Ada ‘Bisul Di Punggung’

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mendakwa UMNO mempunyai ‘bisul di punggung’ sehingga menyebabkan mereka tidak memiliki pendirian yang tetap berhubung gagasan pembentukan Muafakat Nasional (MN).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, UMNO adalah pihak yang mencetuskan masalah dalam MN dan bukan PAS.

“Yang rok rak (tidak tetap pendirian) ialah UMNO, bukan PAS,” katanya mengulas pendirian parti berkenaan yang masih utuh dengan Piagam MN yang diasaskan PAS dan UMNO.

Mohd. Amar berkata demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Muslimat kawasan Pengkalan Chepa di Kota Bharu, hari ini, lapor Astro Awani.

Menurut Mohd Amar, penubuhan MN pada asalnya ialah untuk menyatukan umat Melayu-Islam yang pada ketika itu berasa terancam.

“PAS masih tetap dengan pendirian Muafakat Nasional (yang) merupakan penyatuan ummah bagi memperkasakan umat Islam dan menghimpunkan umat Islam-Melayu dalam satu gagasan demi agama dan ummah.

“Yang menimbulkan masalah adalah kalangan segelintir pemimpin UMNO yang naik ‘bisul di punggung’ (apabila PAS menyertai Perikatan Nasional) sedangkan PAS tetap dengan pendirian mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan pada masa sama memperkasakan MN,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata, UMNO Kelantan telah mendahului PAS apabila mengisytiharkan pembubaran MN di negeri itu, sedangkan PAS masih menaruh harapan untuk mempertahakannnya.

“Jadi siapa yang rok rak (tidak tetap pendirian),” soal beliau sekali lagi.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian mutkamar itu, Mohd. Amar membayangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkemungkinan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.

“Melihatkan perkembangan politik saya jangka mungkin Pilihan Raya Umum ke 15 akan diadakan Oktober selepas pembentangan Belanjawan 2023 dan belanjawan dibentangkan lebih awal sedikit, mungkin pada akhir September.

“Perdana Menteri juga mungkin akan melihat (faktor) wow sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen… sesiapa pun jadi Perdana Menteri akan melihat penerimaan rakyat sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Cara yang paling sesuai untuk wujudkan wow faktor ialah melalui belanjawan. Belanjawan dalam jadual Parlimen adalah bulan Oktober, tapi saya dengar Perdana Menteri minta pembentangan belanjawan diawalkan (iaitu) akhir September.

“Itu (yang) kita dengar tapi saya tak tahulah, kerana jadual Parlimen tak keluar lagi,” katanya.

PAS juga, jelas beliau, bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya sama ada diawalkan atau dilewatkan.

Parti itu juga, katanya, meletakkan sasaran untuk bertanding sekurang-kurangnya di 50 kerusi Parlimen dengan 40 kawasan daripada jumlah itu dimenangi.

“Target (sasaran) kita 50 kerusi Parlimen, tambah kerusi dari sebelumnya, tapi ianya perancangan, kalau perancangan betul dan keadaan memihak kepada kita (PAS) tak mustahil kita dapat capai sasaran,” ujar Mohd. Amar.

Politik