Perkembangan Semasa Politik Tunisia

Perkembangan Semasa Politik Tunisia

Tunisia adalah sebuah negara kecil dan tidak mendapat perhatian yang meluas dalam kancah politik Dunia Arab dan Dunia Islam umumnya.

Namun pada Januari 2011, negara kecil yang terletak di Utara Afrika ini mendapat perhatian dunia apabila seorang pemuda yang bernama Mohammad Al-Bu Azizi bertindak membakar dirinya kerana tekanan hidup apabila kereta sorong barang-barang perniagaan kecil miliknya dirampas oleh pihak berkuasa tempatan.

Peristiwa tersebut mengerakkan revolusi di Tunisia yang akhirnya menumbangkan pemerintahan Zainal Abidin Ben Ali yang memerintah Tunisia secara kuku besi selama 23 tahun.

Ia juga menjadi pencetus kepada kebangkitan revolusi Arab Spring yang merebak ke seluruh negara Arab sehingga menumbangkan Hosni Mubarak di Mesir, Muammar Qaddafi di Libya, Ali Abdullah Salleh di Yaman dan konflik yang tidak berkesudahan di Syria.

Tindakan pemuda yang membakar dirinya dan baik atau buruk Arab Spring bukan perbahasannya di sini namun negara Tunisia akan dikenang kerana menjadi pencetus kepada perubahan yang berlaku di Dunia Arab.

Namun cabaran yang paling besar kepada negara ini ialah untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepada kerajaan serta untuk membangunkan semula Tunisia yang berada dalam kegawatan ekonomi ketika itu.

Golongan muda keluar beramai–ramai mengundi dengan harapan untuk mencapai pembaharuan dalam kehidupan serta keinginan tinggi untuk menukar sistem pentadbiran yang tidak memihak kepada rakyat.

Dengan kadar pengganguran mencapai 15% dan pelbagai kesukaran, Tunisia sememangnya sedang bergelut dengan pelbagai masalah samada ekonomi mahupun politik.

Sebelum ini tulisan saya tentang politik Tunisia ialah pada tahun 2017 berkenaan dengan perubahan halatuju Parti An-Nahdhah yang berwajah Islam kepada parti yang berwajah sekular.

Perubahan yang disambut dingin dan dikritik dengan nada keras oleh gerakan-gerakan Islam kerana menggadaikan prinsip Islam dan keadilan yang diperjuangkan selama ini, sebagai contoh mengetepikan untuk membicara dan membela isu Palestin sehingga tidak dijemput langsung wakil Palestin daripada HAMAS dan lain-lain lagi dalam persidangan-persidangannya kononnya untuk membuang wajah Islam dari partinya.

Ada juga yang melihat dengan pandangan positif, sebagai satu langkah strategi di sebuah negara yang mana sekularisma telah menjadi darah daging kepada masyarakatnya.

Barangkali pendekatan itu betul kerana penduduk setempat yang lebih mengetahui keadaan mereka.

Kita doakan mudah-mudahan ijtihad yang diambil itu betul dan membawa kebaikan kepada kebangkitan Islam di Tunisia bagi meruntuhkan tembok sekularisma di negara yang digelar dengan Ibu Sekularisma Dunia Arab.

Apa yang menarik ialah perkembangan ketika itu yang berlaku di Tunisia apabila Qais Said yang merupakan calon bebas yang tidak dikenali ramai dan bukan calon pilihan, memenangi pilihanraya presiden pusingan kedua setelah mendapat 73% berbanding pencabarnya Nabil Al-Qurawi yang hanya mendapat 37%.

Kemenangan tersebut membolehkan Qais Said mengangkat sumpah sebagai Presiden Tunisia yang baharu yang diharap dapat memberi sinar dan harapan kepada Tunisia dan rakyatnya.

Presiden Tunisia, Qais Said ialah orang yang cukup asing dalam politik Tunisia.

Beliau merupakan seorang Professor undang–undang perlembagaan di University Of Tunis, Tunisia.

Sejurus mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Tunisia, beliau meletakkan jawatan di Universiti Of Tunis.

Slogan untuk menghapuskan korupsi dalam pentadbiran kerajaan, menghapuskan fahaman dan kelakuan liberalisme seperti homoseksualiti dan yang bertentangan dengan ajaran Islam, menyokong hukuman mati ke atas pesalah jenayah berat serta menolak pembahagian sama rata faraid antara lelaki dan wanita mendapat sokongan padu rakyat Tunisia yang mahukan pembaharuan setelah gagal memperolehinya di era Zainal Abidin Ben Ali.

Sebagai seorang yang tegas menyokong perjuangan Palestin yang menentang penjajahan zionis Israel, Qais Said juga menolak normalisasi hubungan Dunia Islam dengan negara haram Israel dengan menggangap mana–mana negara Islam mahupun Arab yang melakukan hubungan tersebut adalah pengkhianatan terhadap Islam dan perlu dihukum.

Sebagai seorang berbangsa Arab, dalam ucapan-ucapan rasminya beliau menggunakan bahasa Arab Fusha dan tidak langsung menggunakan bahasa penjajah Perancis sebagaimana menjadi kebanggaan golongan sekularis Tunisia.

Apa yang menarik komitmennya ini dibuktikan dalam ucapan pertamanya setelah diumumkan kemenangannya sebagai Presiden Tunisia yang menyatakan sokongan penuhnya kepada perjuangan jihad rakyat Palestin yang menentang penjajahan zionis Israel.

Ucapan tersebut disambut dengan gembira dan penuh syukur oleh rakyat Tunisia dan gerakan Islam yang sebelum ini meminggirkan Tunisia.

Namun apa yang berlaku ketika ini adalah tidak seperti yang diharapkan oleh warga Tunisia sebelum ini.

Tunisia ketika ini sedang berhadapan dengan krisis politik dan perlembagaan yang amat sukar untuk diselesaikan.

Ketika ini saban hari berlakunya protes membantah pemerintahan Qais Said yang dianggap telah meleburkan demokrasi di Tunisia.

Semuanya bermula pada 25 Julai 2021 apabila Presiden Qais Said memecat Perdana Menteri Tunisia Hichem Mechichi dan menggantung Parlimen Tunisia dengan menguatkuasakan Darurat berdasarkan Perkara 80 Perlembagaan Tunisia.

Tindakan tersebut dikecam pelbagai pihak dengan menggangap ia adalah tindakan rampasan kuasa.

Speaker Parlimen Tunisia Rached Ghannouchi yang juga pemimpin parti Ennahda menggangap tindakan Qais Said sebagai mencabuli sistem demokrasi dan menggesa penyokong-penyokongnya agar turun ke jalanan bagi membantah tindakannya yang dianggap sebagai satu rampasan kuasa.

Ahli-ahli parlimen Tunisia yang membantah tindakan Qais Said ditahan dan didakwa di mahkamah.

Pada 22 September 2021, Qais Said mengeluarkan dekri yang memberikan beliau kuasa penuh untuk merombak kerajaan dan perlembagaan serta kemungkinan pembubaran parlimen.

Sebelumnya pada 23 Ogos 2021, beliau telah melanjutkan penggantungan parlimen Tunisia walaupun mengikut perlembagaan Tunisia hanya membenarkan penggantungan parlimen selama sebulan.

Pada pertengahan Oktober 2021, Presiden Qais Said telah melantik Najla Bouden sebagai Perdana Menteri Tunisia baharu yang menjadikan beliau Perdana Menteri wanita pertama di Tunisia dan dunia Arab.

Perlantikan tersebut mendapat reaksi bercampur-baur di kalangan rakyat Tunisia yang masih tidak dapat menerima tindakan Presiden Qais Said yang dianggap melanggar amalan demokrasi di Tunisia.

Rached Ghannouchi dan pemimpin-pemimpin parti Ennahda telah ditangkap dan didakwa malah ada yang telah dipenjarakan.

Pada 6 Februari 2022, Qais Said telah membubarkan badan pemerhati bebas kehakiman tertinggi Tunisia yang didakwa bersikap berat sebelah.

Ketua badan kehakiman Youssef Bouzakher menolak pembubaran tersebut dan menyatakan tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

Terbaharu pada Jun 2022, Presiden Qais Said telah memecat 57 hakim dengan mendakwa hakim-hakim tersebut telah menyalahgunakan kuasa, kuropsi dan melindungi pengganas, di antara yang dipecat adalah Youssef Bouzakher.

Hakim-hakim di Tunisia seterusnya melancarkan mogok besar-besaran bagi membantah tindakan Presiden.

Parti Ennahda ketika ini sedang berhadapan dengan dakwaan merancang tindakan keganasan apabila didakwa terlibat dalam merancang untuk meyasarkan Presiden Qais Said.

Akuan dan aset pemimpin utama parti Ennahda seperti Rached Ghannouchi, bekas Perdana Menteri Hamadi Jebali dan beberapa pemimpin politik Tunisia telah dibekukan oleh Mahkamah Tunisia.

Beberapa minggu lalu, Presiden Qais Said membentangkan draf pindaan perlembagaan yang didakwa oleh penentangnya akan memberikannya kuasa mutlak sebagai satu-satunya orang yang paling berkuasa sepenuhnya di Tunisia dan akan mengadakan referendum pada 25 Julai ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan tersebut.

Berdasarkan keadaan semasa, nampaknya keadaan di Tunisia semakin tegang dan sukar untuk mencari jalan penyelesaian.

Protes dan mogok besar-besaran masih berlaku yang menuntut Presiden Qais Said meletakkan jawatan dan memulihkan semula demokrasi di Tunisia.

Ketegangan politik yang sedang berlaku ini menambahkan lagi sengasara rakyat Tunisia yang sedang berhadapan kesukaran ekonomi yang mencengkam kehidupan mereka.

Sama-sama kita doakan agar kemelut yang sedang berlaku di Tunisia ketika ini beroleh jalan penyelesaian yang mampu mententeramkan semula keadaan dan ketegangan politik di Tunisia.

Semoga sinar kegemilangan Islam kembali menyinar di bumi Tunisia serta diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT.

“Islam Menyatukan Umat “

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Hal Ehwal Lujnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Burok.

Dunia Islam