UMNO akhirnya berjaya mengadakan himpunan raksasa semalam apabila akar umbi berjaya dikumpulkan dalam Dewan Merdeka bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak yang dihukum penjara selama 12 tahun.
Walaupun pada awalnya perhimpunan tersebut dikatakan akan berkisar kepada taklimat untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU-15), ia sebaliknya bertukar menjadi sesi taklimat kes bekas Perdana Menteri yang sudah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan.
Daripada ucapan pemimpin utama UMNO semasa taklimat semalam, institusi kehakiman negara menjadi sasaran kecaman dan boleh dikatakan satu penghinaan jelas serta terbuka terhadap badan perundangan negara yang boleh dikenakan tindakan jika orang biasa yang berbuat sedemikian.
Bagaimanapun, pemimpin UMNO kebal daripada tindakan undang-undang, mereka boleh mengkritik dan bercakap sewenang-wenangnya perkara menyalahi undang-undang kerana ketika ini sedang menguasai kerajaan.
Lebih mengejutkan, kenyataan Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri (PM) juga seakan bersetuju dengan tindakan pemimpin utama yang berucap di atas pentas dewan walhal beliau sepatutnya memberi contoh yang baik memandangkan mempunyai latar belakang perundangan tetapi sebaliknya melihat sahaja yang sedang berlaku di depan matanya.
Seorang pegawai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu dirahsiakan menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan Penasihat tersebut yang seakan membelakangkan bosnya sendiri.
“Hancus,” kata pegawai tersebut mengulas kenyataan Penasihat PM tersebut semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memanggil semua pemimpin akar umbi berhimpun di rumah parti itu di Dewan Merdeka dan turut hadir sama ahli keluarga Najib yang diberikan ruang untuk menyampaikan ucapan mereka kepada hadirin yang hadir.
Ahli keluarga Najib menyampaikan ucapan dan pastinya ia bertujuan untuk meraih simpati daripada akar umbi UMNO terhadap apa yang berlaku kepada bekas Presiden UMNO itu yang kini meringkuk dalam penjara atas kesalahan dilakukannya.
Hampir lima hari Najib sudah berada dalam penjara sejak dijatuhi hukuman pada Selasa lalu.
Walaupun sudah dihukum penjara, tetapi Najib masih perlu menghadiri beberapa perbicaraan yang sedang dihadapinya di mahkamah kerana masih terdapat beberapa kes yang belum selesai lagi.
Sebelum dijatuhi hukuman pada Selasa, terdapat ratusan penyokong yang berkumpul di Istana Kehakiman bagi memberi sokongan kepada Najib yang berdepan perbicaraan akhir dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Namun, semangat penyokong Najib itu kendur selepas didapati bersalah dan dihukum penjara.
Paling menyedihkan apabila momentum dibawa penyokong Najib itu tidak dapat diteruskan dan terhenti begitu sahaja, ia terbukti semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi hanya berapa kerat sahaja yang hadir bagi memberikan sokongan di luar mahkamah.
Malahan semasa memorandum meminta pengampunan oleh sebuah badan bukan kerajaan di Istana Negara baru-baru ini juga tidak mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ketua kumpulan itu terpaksa menggugut untuk keluar UMNO jika tidak mendapat pembelaan daripada parti untuk membebaskan Najib.
Berbeza semasa Najib bebas dan boleh ke sana sini, sambutan daripada orang ramai amat baik dan ia digunakan sebagai modal politik UMNO kononnya rakyat kini sudah kembali menyokong parti itu dan mula berangan-angan akan dapat menjadi kerajaan dominan semula.
Tetapi melihat keadaan semasa apabila tidak ada rakyat yang sukarela turun menyokong Najib yang dijatuhi hukuman penjara, ia memberi isyarat jelas populariti “Raja Media Sosial” itu tidak gah seperti mana yang digambarkan.
Sekiranya rakyat betul-betul fanatik dan benar-benar menyokong Najib, sudah pasti tanpa ada bayaran akan sukarela turun ke jalanan bagi menyatakan sokongan mereka tetapi sebaliknya senario berbeza berlaku apabila rakyat seakan tidak ambil “port” tentang Najib yang dihukum penjara.
Melihat senario tersebut, sudah pastinya Zahid terpaksa mengambil langkah segera bagi menunjukkan sekurang-kurangnya Najib masih memiliki sokongan dengan membuat jemputan kepada akar umbi untuk hadir ke Kuala Lumpur bagi menghadiri satu taklimat khas berhubung kes Najib.
Pakcik dan makcik, kakak dan janda, adik-adik di sekolah dan ahli keluarga yang berdaftar keahlian UMNO dikerah ke Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Najib.
Semua ini berlaku kerana UMNO menyedari rakyat seakan tidak mengambil endah dan tidak memberi sokongan kepada mereka dalam isu memperjuangkan nasib Najib yang sedang dipenjarakan.
Bagi mengelak malu yang besar dan membuktikan kepada rakyat kononnya Najib masih mempunyai pengaruh dan sokongan, akar umbi UMNO kini dipergunakan demi berjuang untuk Najib yang sudah berada dalam penjara ketika ini.
Apabila UMNO berdepan masalah sebegini, perisai paling berguna adalah dengan menggunakan akar umbi dalam mempertahankan pemimpin mereka walaupun umum menyedari pelbagai kes dan pertuduhan rasuah sedang dihadapi mereka.
Maka, berdegar-degar pemimpin UMNO dalam ucapan di Dewan Merdeka cuba membuktikan bahawa rakyat masih menyokong Najib walhal realitinya rakyat kini sudah penat dengan politik yang seakan tidak kesudahannya.
Mungkin masih ada yang menyokong dan melihat Najib mempunyai jasa besar kepada UMNO, tetapi adakah rakyat biasa berkongsi pemikiran sama dengan mereka. Jawapannya ada di depan mata, berapa kerat sahaja rakyat yang turun ke mahkamah tempoh hari untuk menyokong Najib yang sedang menghadapi perbicaraannya?