Desakan Umno untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat mungkin akan “memakan diri” memandangkan parti itu dilihat berada dalam keadaan berpecah-belah, kata beberapa penganalisis politik.
Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata, Umno pada masa ini sepatutnya menumpukan kepada isu kepimpinan terdahulu untuk memastikan tiada konflik sekiranya ingin kembali meraih sokongan dua pertiga.
Pada 27 Ogos, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden di Kuala Lumpur mengulangi desakan supaya PRU15 diadakan dengan segara.
Malah desakan itu juga dikatakan konsisten dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Menerusi taklimat khas itu, ahli Umno turut meluahkan rasa tidak puas hati susulan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Penganalisis politik USM Ahmad Atory Hussain, berkata keadaan Umno pada masa ini masih belum kuat untuk berdepan PRU15 memandangkan masih terdapat kehadiran kluster mahkamah dalam parti Melayu itu.
Katanya, situasi ini sebenarnya akan mengheret lagi nama baik Umno dan boleh mengakibatkan pengundi Melayu atas pagar untuk memilih parti alternatif seperti PAS, Bersatu, Pejuang dan juga Gerakan Tanah Air (GTA).
“Umno sendiri pun berbelah bagi dan hala tuju parti itu juga tidak menentu,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Sekiranya Umno sudah betul-betul mantap dan buang kluster mahkamah dari kepimpinan mereka, baru mereka akan menerima manfaat jika adakan PRU15.”
Menurut Atory, tidak mustahil sekiranya Umno apabila sudah bebas daripada cengkaman kluster mahkamah akan mewujudkan semula Muafakat Nasional bersama PAS dan Bersatu untuk meraih kembali sokongan orang-orang Melayu secara menyeluruh.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara Mujibu Abd Muis, berkata Umno juga tidak akan menerima kelebihan sekiranya PRU15 dilewatkan memandangkan situasi ini akan memberi ruang kepada pembangkang mengumpul “modal” untuk menyerang parti tersebut.
“Baru-baru ini timbul isu projek kapal tempur pesisir (LCS) dan juga isu yang melibatkan pemimpin kanan Umno.
“Contohnya hari ini (2 September), Bung Mokhtar Radin (Ahli Parlimen Kinabatangan) dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri atas pertuduhan rasuah dan sebelum ini pula Najib yang juga bekas Presiden Umno dijatuhkan hukuman penjara.”
“Ini semua akan menjadi modal pembangkang untuk menunjukkan Umno dibelenggu dengan masalah rasuah,” katanya.
Menurut Mujibu, sokongan terhadap Umno dalam kalangan pengundi masih kuat didorong oleh pengundi tegar yang merupakan akar umbi parti itu sendiri.
Namun begitu, beliau berkata, sentimen semasa dipercayai boleh mempengaruhi pengundi untuk mengulangi insiden kekalahan Umno pada 2018.
“Persepsi Umno sebuah parti yang korup tetap tinggi terutama dengan kes-kes mahkamah yang sedang berlangsung pada masa ini,” katanya.
“Oleh itu, parti yang kukuh seperti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) ada peluang untuk tarik undi penyokong atas pagar.”
Ditanya mengenai kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, Atory dan Mujibu menjangkakan peluang untuk beliau mengekalkan jawatan itu agak tipis walaupun sekiranya Umno meraih sokongan dua pertiga.
Menurut Atory, pemenjaraan Najib serba sedikit akan menjejaskan sokongan ahli parti terhadap Ismail terutama dalam kalangan kluster mahkamah kerana dilihat enggan mematuhi desakan Umno untuk mengadakan PRU15 segera.
Katanya, Ismail sebenarnya tidak boleh membuat keputusan itu kerana kerajaan pada masa ini merangkumi pelbagai parti, justeru, beliau perlu mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum membubarkan Parlimen.
“Ini yang Umno tidak faham. Bukan Ismail tidak mahu tetapi beliau sebenarnya tidak boleh kerana perlu dapatkan kebenaran ‘abang tiri’ dalam kerajaan,” kata Atory.
“Umno perlu faham konsep berkongsi kuasa. Jika menang dua pertiga baru mereka boleh tentukan bila nak buat pilihan raya.”
Bagi Mujibu, Umno tidak akan berani untuk memecat Ismail kerana ini boleh mencetuskan perang dalam parti yang dalam skala besar.
“Jika mereka pecat Ismail, maka ia akan rugikan Umno,” katanya.
“Tetapi jika Umno menang besar, saya tak nampak bagaimana Ismail boleh kekal menjadi perdana menteri.”