Calon PN Kedah Muda, Comel Daripada Dr Mahathir

Calon PN Kedah Muda, Comel Daripada Dr Mahathir

Perikatan Nasional Kedah telah menyelesaikan pembahagian kerusi calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) peringkat Parlimen, kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor, hari ini (13 Oktober 2022).

Menurut Pengerusi PN Kedah itu semua senarai calon, termasuk orang muda, akan dihantar kepada PN Pusat Ahad ini untuk diteliti.

“Semua (calon) negeri di Malaysia ini akan serahkan kepada PN Pusat pada 16 Oktober ini. Calon semua kacak, comel dan muda, muda daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, ” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas pembahagian jumlah kerusi antara parti dalam PN negeri itu.

PAS kini menguasai 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengetuai kerajaan PN di Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi, manakala UMNO hanya menang dua kerusi pada PRU-14.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 13 kerusi DUN, masing-masing lima milik PKR, diikuti empat disandang Parti Amanah Negara (AMANAH), serta masing-masing dua milik DAP dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar juga berkata pihaknya akur dengan keputusan PAS Pusat untuk tidak membubarkan DUN di negeri yang ditadbir parti itu termasuk Kedah.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengikut semua keputusan yang di buat oleh PAS Pusat melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan di ibu negara hari ini.

“Bubar tak bubar kita bergantung kepada PAS Pusat… jika mereka kata tidak bubar, maka kita akur dengan keputusan itu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini antara lain membuat keputusan mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Muhammad Sanusi juga memaklumkan akan melantik wakil rakyat baharu bagi menggantikan tempat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Beliau berkata pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Suraya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri, hari ini.

“Suraya sudah serahkan fail berkaitan portfolionya dan kita rancang untuk penggantian Exco baharu,” katanya.

Pilihanraya