29 Ahli Parlimen BN Tandatangan SD Sokong Muhyiddin

29 Ahli Parlimen BN Tandatangan SD Sokong Muhyiddin

Dua puluh sembilan daripada 30 pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Mereka dikatakan berbuat demikian dalam satu pertemuan di rumah Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Ampang Jaya, malam ini.

Kecuali Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kumpulan itu juga menyokong pembentukan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional dengan kerjasama dua parti dari Sabah dan Sarawak serta beberapa parti lain, termasuk wakil rakyat Bebas.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan sekurang-kurangnya 20 calon BN bersetuju menyokong Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, sebagai Perdana Menteri.

BN hanya menang 30 daripada 220 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU-15, semalam (19 November 2022). Pencapaian di bawah Zahid ini adalah yang paling buruk dalam sejarah UMNO dan BN.

Sumber BN juga memaklumkan bahawa semua 29 pemimpin BN dan UMNO itu bersetuju menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin dan Perikatan Nasional, untuk diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, esok sebelum dibawa ke Istana Negara.

“Mereka berbuat demikian kerana menolak kerjasama dengan DAP dan tidak mahu mengikut Zahid yang lebih mesra untuk bersama PH pimpinan rakan baiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata sumber itu.

Difahamkan, Zahid sedang mengatur gerakan untuk bersama Anwar dan DAP dengan menggunakan surat akujanji yang ditandatangani oleh semua pemimpin BN sebelum disahkan sebagai calon, sebelum ini.

Mengenai ancaman Zahid untuk menyingkirkan Ahli Parlimen BN dan UMNO yang enggan mengikut kehendaknya, sumber itu berkata semakan dari segi undang-undang sedang dilakukan oleh peguam Kumpulan 20 itu.

Namun, katanya sesetengah daripada mereka berpendapat ianya tidak melanggar peraturan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana disebut Zahid, sekiranya mereka menyokong Muhyiddin dan Perikatan Nasional.

Katanya Zahid juga tidak mempunyai kuasa memecat mana-mana ahli parti kecuali dengan kelulusan jawatankuasa disiplin atau Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Sementara itu, beberapa pemimpin tertinggi UMNO dilaporkan berkumpul di rumah Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Ampang Jaya, malam ini, untuk membincangkan langkah selanjutnya.

Difahamkan, perbincangan itu ada kaitan dengan tindakan beberapa pemimpin kanan UMNO yang meletak jawatan, selain usaha untuk menyingkirkan Zahid serta Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Terdahulu Zahid telah membatalkan mesyuarat MT dan Dewan Tertinggi BN, malam ini.

Zahid kini sedang berdepan dengan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, melibatkan jutaan ringgit, dan telah diarah membela diri terhadap 47 daripada pertuduhan itu.

Ketika kempen PRU-15, tular di media sosial gambar ‘Kabinet Perpaduan Malaysia 2022’ melibatkan gabungan BN dan PH selepas PRU-15, yang dibarisi pemimpin pemimpin kedua-dua parti itu, dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Gambar itu juga menunjukkan Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bersama dua lagi pemimpin, termasuk Pengerusi DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Isu Semasa