Dalam PRN Johor, tiga kerusi DUN yang PN menang, Endau (Alwiyah Talib), Bukit Kepong (Datuk Dr Sharudin Jamal) dan Maharani (Hj Aziz Talib) sebenarnya memberi ‘gambaran awal’ ketiga-tiga kerusi Parlimen yang menaungi DUN-DUN ini, akan menang.
Malangnya, calon PN di Parlimen Muar, Ustaz Abdullah Hussein tewas di tangan penyandang, Syed Saddiq Abdul Rahman dengan majoriti 1,345.
Syed Saddiq mendapat 19,961 undi, manakala Ustaz Abdullah mendapat 18,616.
Post mortem perlu dibuat dengan segera untuk melihat mengapa calon PN ini boleh tewas, kerana banyak pihak membayangkan salah satu dari tiga kerusi yang PN dijangka menang selain Pagoh dan Mersing, ialah Muar.
Apakah jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Muar tidak cukup membantu calon dari PAS ini, selain dari Gerakan?
Apakah faktor undi Cina menjadi penentu menang kalah calon PN di Muar, bersandarkan komposisi Melayu di Parlimen Muar mewakili 66.72 peratus, Cina 31.4 peratus dan India 1.33 peratus.
Syed Saddiq bertanding atas tiket MUDA yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Tiada calon Pakatan Harapan di sini.
Dalam PRN lalu, dua DUN di bawah Parlimen Muar, satu dimenangi PN (Maharani) dan satu dimenangi BN (Sungai Balang).
Di bawah Parlimen Pagoh, DUN Bukit Kepong dimenangi PN manakala DUN Bukit Pasir dimenangi BN.
Begitu juga di Parlimen Mersing, BN menang di DUN Tenggaroh manakala PN menang di Endau.
Di Melaka, PN hanya menang dua kerusi DUN tetapi menang tiga kerusi Parlimen, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin.
Walaupun sebelum hari pengundian Naib Presiden Bersatu dari Melaka mengisytiharkan letak jawatan dan keluar dari parti.
Kemudian, tindakannya diikuti para penyokongnya di Tangga Batu dan Jasin.
Namun, gelombang yang mereka buat itu langsung tidak memberi kesan kepada calon-calon yang bertanding di kawasan tersebut.
Untuk catatan, di Kedah Ketua Bersatu Bahagian Padang Terap juga mengisytiharkan keluar parti.
Kesan dari pengisytiharannya itu, calon BN tewas di situ. Calon PN menang.
Dari beberapa peristiwa ini, jelaslah taktik lama, bila sampai musim pilihan raya ada bahagian-bahagian kononnya dibubarkan dan ahli-ahli keluar parti beramai-ramai tidak lagi memberi kesan kepada calon yang bertanding.
Malahan, pengundi enggan ambil tahu siapa mereka yang keluar parti dan kononnya membubarkan parti.
Dalam PRN Johor Ketua Bersatu Bahagian Mersing mengisytiharkan keluar parti dan disambut oleh DS Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Namun, calon DUN Endau Alwiyah Talib menang dengan majoriti besar.
Jadi selepas ini, kalau ada mana-mana Naib Presiden Bersatu atau Ketua-ketua Bersatu Bahagian bercadang mahu mengisytiharkan keluar parti, kalungkan mereka bunga malai atau mandikan mereka dengan air tujuh jenis bunga, supaya mereka ‘terus ceria’ selepas peristiwa tersebut.
Kini, mereka yang telah mengisytiharkan diri keluar parti, ibarat mati tidak berkubur.
Bukan sahaja Umno tidak memperdulikan mereka, malahan, mereka pun sudah tidak kelihatan di tempat-tempat biasa kerana ‘malu untuk berjumpa orang ramai’.
Kalau ada lagi yang nak keluar parti, aturkan mereka buat majlis pengisytiharan keluar parti di mana-mana kubu Portugis atau kubu Belanda.
Nanti, mereka boleh dijadikan kubur untuk mengantikan kubu-kubu tersebut.
Masuk parti secara senyap-senyap, keluar parti pun buatlah secara senyap-senyap.
Nak glamour janganlah buat cerita keluar parti. Parti kat Malaysia ni banyak sangat.
GTA (Pejuang) kini dah jadi LDP (Lost Deposit Party).
Jadi, jangan suka-suka tubuh parti hanya kerana kita menyangka kita ni hebat sangat.
Saya pernah menulis kalau ada personaliti hebat, parti lemah, masih ok.
Kalau ada personaliti lemah, tetapi parti kuat, pun ok.
Malangnya, ada personaliti lemah, parti lemah. Itu yang jadi LDP.
Ada calon Bebas menang di Sabah.
Di Tenom, Riduan Rubin menang manakala di Kudat, Datuk Verdon Bahanda menang.
Di Semenanjung, calon Bebas boleh dikatakan kesemuanya hilang deposit.
Pada pandangan saya (mungkin saya silap), calon-calon Bebas yang nak menang dalam pilihan raya, mesti dikenali dan sentiasa bersama masyarakat.
Jika, sesekali muncul dan bercakap mengenai falsafah perjuangan, tiada pengundi yang mahu mendengarnya.
Malahan, mereka tidak ambil peduli siapa calon Bebas itu, kerana mereka masih mempunyai tiga pilihan utama iaitu PN, PH atau BN.
Kalau sanggup bekerja selama lima tahun membawa imej sendiri sebagai “calon Bebas”, tidak mustahil mereka dipilih, walaupun bukan mudah.
Berbalik cerita Parlimen Muar, Perikatan Nasional (PN) Muar mesti mengkaji secara teliti asbab kekalahan.
Jika disebabkan jentera, ia perlu diperbaiki.
Jika disebabkan poster, atau ceramah atau faktor-faktor berkaitan, kenalah diambil perhatian serius.
Bila Ketua Umno Bahagian Muar, Razali Ibrahim enggan bertanding di Muar, ekoran kekalahannya dalam PRU14 yang lalu, saya sudah membayangkan inilah peluang terbaik untuk PN merampas kerusi ini dari Syed Saddiq.
Untuk catatan, Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar dalam PRU 14 atas tiket PKR (Pakatan Harapan) ketika itu.
Beliau mewakili Bersatu ketika itu.
Bersatu juga perlu mengiatkan program parti di DUN Sungai Balang kerana peluang calon Bersatu (PN) menang di sini, tidaklah sukar jika mendapat kerjasama intim dari PAS.
Oleh Daud Ibrahim