Kabinet Anwar Beri ‘Kejutan Biadab’ Terhadap Masyarakat Sivil: SUARAM

Kabinet Anwar Beri ‘Kejutan Biadab’ Terhadap Masyarakat Sivil: SUARAM

Aktivis hak asasi veteran dan bekas ahli Parlimen, Kua Kia Soong menjadi tokoh terbaru membuat kritikan terbuka terhadap Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan gerakan reformasi yang sudah lama diperjuangkan Presiden Parti PKR itu di samping menyifatkan ia kini hanya ‘tempat keluar masuk’ ahli politik yang mempunyai kepentingan sendiri.

Kua, yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995 dan kini mengetuai kumpulan hak asasi manusia Suaram berkata, Kabinet yang diumumkan Anwar adalah ‘kejutan yang biadab’ bagi aktivis masyarakat sivil, susulan pelantikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri, serta langkah Anwar memegang portfolio kewangan.

“Seorang Perdana Menteri yang mengawal Kementerian Kewangan mengulangi amalan era (TUN) Dr Mahathir Mohamad dan ini adalah keadaan yang menyebabkan skandal 1MDB (Datuk Seri) Najib Razak berlaku.

“Semasa 1990-an semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan, terdapat juga skandal kewangan yang hebat apabila Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan Anwar mempunyai ‘kapitalis Bumiputera’ yang digemari mereka.

“Sememangnya kleptokrasi di Malaysia tidak bermula dengan skandal 1MDB,” katanya Pengarah SUARAM itu menurut MalaysiaNow.

Beliau turut mengkritik pelantikan Saifuddin Nasution sebagai Menteri Dalam Negeri, menyifatkan beliau sebagai ‘ketua perusuh’ merujuk peranan pemimpin PKR itu dalam menyerbu Persidangan Asia Pasifik Mengenai Timur Timor II pada 1996 yang diadakan di Kuala Lumpur semasa beliau menjadi pemimpin Pemuda UMNO.

Memetik dakwaan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining yang membiayai pembangkang di Malaysia sejak 2002 melalui National Endowment for Democracy (NED), Kua berkata, perkara itu harus menyedarkan aktivis masyarakat sivil bahawa ‘gerakan reformasi yang sebahagiannya dibiayai NED adalah kenderaan yang mudah dalam usaha menukar rejim’.

“Ini adalah masa yang sesuai bagi pembela hak asasi manusia yang serius merenung perjuangan ‘gerakan reformasi’ yang berjalan sejak bertahun lamanya, kini membawa kita kepada berlakunya kebangkitan biadab ini dan bersedia untuk perjuangan seterusnya.

“Inilah masanya untuk rakyat Malaysia yang mempunyai agenda reformasi untuk merenung apakah sebenarnya ‘reformasi’, terutamanya ‘Bersih’.

“Apakah jenis pembaharuan yang mereka mahukan dan sejauh mana mereka berbeza berbanding dasar yang diperjuangkan Barisan Nasional?”

Menyeru pembaharuan dalam isu-isu seperti dasar yang berasaskan kaum, hak Orang Asli, tadbir urus kerajaan tempatan, rasuah, pendidikan dan ekonomi, beliau mengecam apa yang digelarnya sebagai ‘penyertaan’ pemimpin masyarakat sivil ke dalam pentadbiran PH selepas PRU14 .

“Bagaimanakah gerakan reformasi boleh maju apabila pemimpin mereka secara terbuka mengambil peluang dan dengan senang hati menyertai kerajaan yang sifatnya eksploitatif?

“Adakah masyarakat sivil membuat bantahan terhadap PH yang melambatkan pelaksanaan tuntutan demokrasi dalam manifesto PH?

Masyarakat sivil mengharapkan pembaharuan transformatif yang serius yang akan membentuk semula institusi dengan prinsip demokrasi sebenar dan menambah baik kehidupan 99% rakyat Malaysia khususnya golongan B40,” katanya.

“Ini adalah sebahagian daripada reformasi substantif sebenar yang diharapkan oleh masyarakat sivil daripada kerajaan, bukan reformasi ‘mengitar semula’ muka sama bagi menjaga kepentingan ahli politik dalam kerajaan baru yang tidak stabil di peringkat negeri dan persekutuan.”

Pakatan Harapan