Semalam, dilaporkan Umno memecat seorang ketua bahagian dan ketua Wanita Umno dua bahagian kerana memburuk-burukkan parti dan menyokong pesaingnya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang memaklumkan kepada media mengenai pemecatan itu tidak mendedahkan identiti pemimpin parti itu.
Beberapa sumber Umno kini mendedahkan bahawa Annuar, bekas setiausaha agung Barisan Nasional, adalah ketua bahagian yang dipecat.
Annuar, Ketua Umno Bahagian Ketereh, telah bersama Umno sejak 1979.
Beliau digugurkan daripada barisan BN PRU15.
Annuar sebelum ini dilabel sebagai “mesra Bersatu” oleh penyokong Umno kerana desakan beliau untuk menyatukan parti itu dengan PAS dan Bersatu.
“Dua lagi yang dipecat adalah ketua Wanita bahagian Arau dan Maran,” kata satu sumber.
Bekas Ahli Parlimen Umno Arau dan Maran, Shahidan Kassim dan Ismail Abd Muttalib, turut digugurkan daripada barisan BN PRU15.
Kedua-duanya akhirnya mempertahankan kerusi mereka di bawah panji Perikatan Nasional.
“Lebih ramai (pemimpin) akan dipecat (dalam masa terdekat ini),” kata sumber itu.
MSN