Lim Kit Siang menulis di blognya mengenai fenomena “green tide” atau gelombang hijau dalam PRU-15.
Ia merujuk kepada kejayaan Perikatan Nasional memenangi 74 kerusi Parlimen, 43 daripadanya ialah kerusi yang dimenangi PAS.
Katanya, jika sesuatu tidak dilakukan, Malaysia akan menjadi sebuah Negara Islam menjelang PRU-17.
Katanya lagi, “the “green tide” phenomenon was among others, the creation of the toxic politics of lies, fear, hate, race, and religion, and the unexpected result of the lowering of the voting age to 18, adding 1.4 million new votes to the electoral roll”.
(Terjemahan: fenomena “gelombang hijau” antara lain adalah ciptaan politik toksik pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman, agama dan hasil tak terjangka penurunan umur pengundi ke 18 tahun, menambah 1.4 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih)
Sehubungan itu, menurut Lim Kit Siang, kebangkitan “gelombang hijau” yang merujuk kepada pertambahan mendadak kerusi PAS di Parlimen mesti disekat.
Tulisan Lim Kit Siang ini menyerlahkan sisi Islamophobia DAP.
Kebencian DAP terhadap Islam terpampang dengan jelas, walaupun hujahnya mengenai “green tide” adalah meleset.
Kenapa saya kata meleset?
Lim Kit Siang gagal melihat kejayaan Perikatan Nasional memenangi 74 kerusi termasuk 1 di Sabah dan 1 di Sarawak adalah cerminan penolakan orang Melayu/Bumiputera terhadap politik rasuah dan penyelewengan kuasa yang telah pun bermula sejak tahun 1999.
Mungkin Lim Kit Siang lupa bahawa landskap politik Malaysia telah mula berubah sejak zaman Reformasi 1998 yang dikepalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pilihan raya umum 1999, Barisan Alternatif yang dianggotai oleh KEADILAN, PAS dan DAP menjadi manifestasi awal tentang kewujudan buat pertama kalinya blok politik pembangkang rentas kaum untuk melawan dominasi Barisan Nasional.
Dalam PRU 1999, tercetus fenomena “the Malay revolt” (Pemberontakan Melayu) yang menyaksikan BN kehilangan banyak kerusi di negeri-negeri majoriti besar Malayu (the Malay heartland) seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Orang Melayu pada ketika itu amat simpati dengan nasib Anwar Ibrahim yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dimalukan dengan tuduhan salah laku moral.
Mereka juga marah dengan amalan “kronisme” dan “nepotisme” Mahathir seperti yang didakwa oleh Anwar.
Lalu mereka menghukum UMNO dan BN dalam PRU 1999.
Hasilnya, PAS mencapai prestasi yang amat baik.
Selain daripada mengekalkan negeri Kelantan, parti itu juga mengambil alih kerajaan negeri Trengganu daripada BN.
Kekuatan PAS di Parlimen bertambah daripada hanya 7 kerusi pada tahun 1995 kepada 27 kerusi.
Di peringkat negeri, kerusi PAS bertambah daripada 33 kerusi kepada 98 kerusi.
Malah, Lim Kit Siang kalah di Tanjong dan Karpal Singh kalah di Jelutong.
Tempat Lim Kit Siang sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen diambil oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Pada ketika itu Lim Kit Siang tidak pula bercakap mengenai “the green tide”.
Fenomena “the Malay revolt” dalam PRU 1999 ini telah menyebabkan Tun Mahathir menambah kawasan-kawasan campuran kaum (ethnically mixed constituencies) dalam persempadanan semula pilihan raya yang dilaksanakan selepas PRU 1999.
Ini kerana, BN merasakan ia tidak boleh lagi berharap kepada pengundi Melayu semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan kemenangan BN dalam PRU 1999 adalah disebabkan oleh sokongan pengundi Cina.
Ia sesuatu yang tidak dijangka oleh DAP.
Selepas itu, BN menang besar dalam PRU 2004 setelah Tun Mahathir meletak jawatan dan digantikan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Imej Pak Lah sebagai “Mr Clean” selain ayahandanya yang merupakan tokoh ulama terkenal menarik semula sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN.
Namun, kemenangan ini tidak kekal lama.
Dalam PRU 2008, BN buat pertama kalinya selepas PRU 1969 kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen.
Isu utama yang dibawa oleh pembangkang (pada ketika itu Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP) ialah kenaikan harga minyak dan isu “budak-budak tingkat 4” (the 4th floor boys) yang merujuk kepada pegawai-pegawai Pak Lah di Tingkat 4 Pejabat Perdana Menteri yang dikatakan mendominasi politik dan perniagaan di Malaysia.
Kesannya, kerusi Parlimen BN berkurang 58 kerusi, iaitu daripada 198 kerusi kepada 140 kerusi.
PR pula menambah 62 kerusi daripada 20 kerusi kepada 82 kerusi.
Dalam PRU 2013, kedudukan BN bertambah buruk.
Daripada hilang majoriti 2/3, BN hilang undi popular dengan hanya memperolehi 47.4% undi keseluruhan.
Kerusi Parlimen BN berkurangan daripada 140 kepada 133 dan kerusi PR meningkat daripada 82 kepada 89 kerusi.
Walaupun mendapat 50.9% undi popular, PR gagal membentuk kerajaan kerana bilangan kerusi BN melebih kerusi PR.
Anwar mengadakan siri himpunan “Black Out” secara besar-besaran di seluruh negara bagi memprotes keputusan PRU 2013.
Siri himpunan ini gagal membuahkan apa-apa hasil.
BN akhirnya tewas dalam PRU 2018 dengan hanya memenangi 79 kerusi Parlimen.
PH (yang dianggotai oleh PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH) yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi 104 kerusi dan 9 lagi kerusi di Sarawak yang bertanding menggunakan logo DAP.
PAS yang bertanding solo hanya memenangi 18 kerusi.
Kekalahan BN dalam PRU 2018 adalah pengakhiran BN sebagai parti dominan di Malaysia.
Sepertimana dalam siri PRU sebelum ini, kekalahan BN tidak disebabkan oleh fenomena kebangkitan Negara Islam atau “the green tide”, tetapi penolakan pengundi terhadap amalan rasuah dan penyelewengan yang dikaitan dengan BN.
Dalam PRU-14, slogan kleptokrasi yang berkait dengan skandal 1MDB menjadi war-cry PH dalam meruntuhkan dominasi politik BN dan ia berjaya.
Dalam PRU 2022 (PRU 15), kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN menurun lagi kepada hanya 30.
Kemunculan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR (sebelum STAR keluar PN) dilihat oleh orang Melayu sebagai alternatif terbaik kepada BN yang masih dibelenggu oleh imej kleptokrat.
PN sebuah parti baharu berjaya memenangi 74 kerusi yang sebahagian besarnya adalah kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Kejayaan PN memenangi 74 kerusi terutamanya di kerusi-kerusi majoriti Melayu adalah kesinambungan daripada kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada BN sejak PRU 1999 lagi yang disebabkan oleh penolakan orang Melayu terhadap imej kleptokrat BN.
Ianya merupakan jelmaan kesedaran orang Melayu terhadap perjuangan politik yang berasaskan nilai integriti dan anti-rasuah, bukan sebab kebangkitan “Islamic religous bigotry” sepertimana yang cuba digembar-gemburkan oleh Kit Siang dan DAP.
Lim Kit Siang memaparkan sikap Islamophobia yang melampau dengan menggelar kebangkitan orang Melayu ini sebagai “the green tide”.
This is an insult to the Malays’ intelligence and dignity. (Ini adalah satu penghinaan kepada kepintaran dan maruah orang Melayu)
Saya faham benar pemikiran DAP.
Mereka mahu mengelakkan kecelakaan yang bakal menimpa DAP apabila parti itu memutuskan untuk bekerjasama dengan BN dalam kerajaan campuran yang dibentuk selepas PRU 15.
Di mana suara anti kleptokrasi DAP?
Diam membisu seribu bahasa!
Propaganda “green tide” ini sebenarnya dihala kepada penyokong tegar DAP dalam kalangan pengundi Cina.
Lim Kit Siang ingin menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi Cina supaya jangan menyokong PN kerana di dalam PN ada PAS.
Dia tidak peduli kesan propaganda ini kepada minda orang Melayu yang mungkin akan bertambah sokongannya kepada PN.
Jika ini berlaku, UMNO akan terkubur terus dalam PRU 16.
Lim Kit Siang tidak peduli jika UMNO terkubur.
Dia cuma ingin beritahu pengundi Cina supaya menelan bulat-bulat pembohongan DAP sebelum PRU 15 apabila pemimpin parti itu sanggup duduk semeja di dalam Kabinet dengan kumpulan yang mereka gelar sebagai penyamun di dalam lagu “hoi ya hoi” yang tersohor itu.
Lim Kit Siang berbohong kepada pengundi Cina dengan menggunakan PAS sebagai “scape goat“.
Yang bermain politik toksik pembohongan, kebencian, perkauman dan keagamaan ialah Lim Kit Siang dan DAP.
Datuk Dr Marzuki Mohamad