Saya berkesempatan mendengar Sidang Media YB Menteri Ekonomi melaporkan inflasi dan situasi harga terkini.
Menarik mendengar penjelasan yang lebih terperinci.
Rumus utama yang saya fahami YBM mengutarakan ‘demand-side intervention’ sebagai antara langkah baharu utk menurunkan harga.
Kita perlu mengambil langkah untuk meningkatkan keanjalan permintaan untuk membendung kenaikan harga.
YBM memaklumkan keanjalan permintaan rakyat Malaysia untuk makanan dan minuman bukan alkohol umumnya adalah rendah.
Harga yang meningkat tidak dituruti dengan penurunan permintaan.
Logik YBM ialah, sekiranya permintaan menurun berikutan kenaikan harga (iaitu keanjalan permintaan tinggi), kenaikan harga dapat dikurangkan.
Beliau mencadangkan intervensi permintaan dilaksanakan tanpa memperincikan apakah bentuk intervensi yang akan diambil.
Ramai yg menghubungi saya bertanya mengenai kenyataan ini.
Pertama, sebaiknya pihak yang berkenaan harus lebih berhati-hati dan memahami secara menyeluruh dalam mengutarakan cadangan penyelesaian keatas masalah ekonomi.
“Get the right economics.”
Kaji secara terperinci apakan punca yang menyebabkan kenaikan harga, bukan ‘kesan-akibat’ kenaikan harga.
Apakah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini?
Pastinya peningkatan harga bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan.
Permintaan stabil dan tiada lonjakkan akibat musim perayaan.
Besar kemungkinan ianya berpunca dari kekurangan bekalan, supply-side.
Dengan kadar pengeluaran kendiri (Self Sufficiency Level-SSL) pengeluaran ayam dan telor ayam mencecah 104% dan 115%, adalah jelas kenaikan harga ayam dan telor ayam adalah berpunca dari bekalan.
Bekalan kurang disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh pengeluar tempatan atau pun bekalan dieksport ke pasaran yang lebih menguntungkan.
Mengharapkan penurunan permintaan sebagai penyelesai kepada kenaikan harga adalah tidak betul.
Keanjalan permintaan merujuk kepada respons permintaan terhadap kenaikan harga.
Umumnya kenaikan harga menyebabkan permintaan menurun.
Sekiranya kadar penurunan permintaan lebih besar dari kadar kenaikan harga, permintaan dianggap anjal.
Keanjalan adalah tertakluk kepada beberapa faktor penentu utama.
Antaranya, status produk, keupayaan beralih kepada produk lain (switching options), tahap pendapatan dan juga kesegeraan keperluan produk berkenaan.
Adakah ayam dan telur menghampiri status ruji?
Makanan utama rakyat setiap hari?
Adakah terdapat produk makanan lain yang merupakan pengganti yang sesuai untuk pengguna beralih dari ayam dan telor ayam?
YBM memaklumkan jumlah permintaan dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol tidak menurun.
Adakah kuantiti permintaan atau jumlah perbelanjaan yang dirujuk?
Mungkinkah kuantiti kekal tetapi jumlah perbelanjaan meningkat berikutan harga yang lebih tinggi?
Pengguna terpaksa mengorbankan perbelanjaan yang lain.
Khususnya kumpulan berpendapatan rendah tidak mempunyai banyak pilihan.
Profail perbelanjaan yang lebih terperinci diperlukan.
Khususnya mengikut kelas pendapatan untuk YBM merumuskan status keanjalan permintaan.
Kumpulan berpendapatan tinggi lazimnya mempunyai keanjalan yang rendah terhadap kenaikan harga.
Dalam konteks harga ayam dan telur ayam, mungkin permintaan mereka langsung tidak anjal.
Adakah kumpulan ini yang dimaksudkan oleh YBM?
Adalah tidak wajar mengharapkan kumpulan berpendapatan rendah untuk bertindak menurunkan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga.
Intervensi untuk meningkatkan keanjalan permintaan kumpulan berpendapatan rendah?
Ini tidak betul dan tidak wajar.
Dari sudut ekonomi, saya berpandangan kenyataan YBM untuk kenaikan harga dibendung melalui penurunan permintaan adalah kenyataan yang ‘terlalu mudah’.
Penurunan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga yang kita alami-too simplistic!
Ianya seolah menggambarkan penurunan permintaan adalah antara penyelesaian kenaikan harga.
Dalam kes yang ekstrem, adakah tiada permintaan langsung merupakan langkah efektif membendung kenaikan harga?
Ini bukan penyelesaian!
Kita berhadapan dengan banyak lagi masalah dan cabaran ekonomi.
Logik ekonomi amat penting dalam menangani masalah-masalah ini.
Perekonomian yang betul penting dalam membentuk polisi dan tindakan yang akan diambil.
Semoga YB Menteri Ekonomi dan para pegawai berkenaan dapat menelaah setiap satu masalah ini dengan lebih terperinci dan membawa ekonomi Malaysia ketahap yang cemerlang.
MINDA UKM: Tangani masalah ekonomi dengan perekonomian yang betul.
Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali
Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi.