UMNO Semakin Hilang Sokongan, Ahli Baharu Kurang Dan Yang Ada Pula Keluar: Ismail Sabri

UMNO Semakin Hilang Sokongan, Ahli Baharu Kurang Dan Yang Ada Pula Keluar: Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan UMNO semakin hilang sokongan, ia walaupun parti itu membuat pembersihan baru-baru ini yang menyaksikan beberapa pemimpin dan ahlinya dipecat serta digantung.

Naib Presiden UMNO itu berkata, langkah membuang pasukan lain atau kem yang tidak sehaluan hanya mengakibatkan parti itu bergolak dan sokongan terhadap parti juga semakin berkurangan kerana tiada ahli baharu yang hendak masuk dan ahli yang ada dalam parti pula keluar.

“Tindakan ‘membuang’ satu pasukan untuk mengekalkan satu lagi pasukan hanya menimbulkan pergolakan, akhirnya semakin kurang penyokong. Ini yang saya bimbangkan mengenai masa depan UMNO.

“Ahli baharu yang hendak masuk (sertai UMNO) pun kurang, yang ada pula keluar. Mungkin keadaan sekarang dikatakan aman kerana tiada lagi ‘kaki melawan’, tetapi sokongan semakin hilang,” katanya dipetik laporan BH.

Terdahulu, Majlis Tertinggi (MKT) UMNO memecat beberapa pemimpinnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana dikatakan melanggar peraturan dan keputusan parti, manakala beberapa yang lain pula digantung keahlian.

Sebelum PRU-15, antara nama-nama besar yang dipecat adalah Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, disusuli pemecatan terbaru membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Noh Omar pada 27 Januari lalu.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian Hamdan pula antara yang digantung keahlian selama enam tahun.

Khairy dan Noh antara yang lantang mengkritik kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) pertengahan Januari lalu yang meluluskan usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti.

UMNO